Monday, March 18, 2024

Belati

Melati putih yang mekar dan harum di sepanjang perjalanan menuju ke rumah itu dipetik dan dibawa bersama bakul rotan. Perlahan dia mengayuh basikal berwarna merahnya menuruni bukit. Terlihat beberapa orang anak-anak kecil sedang bermandi-manda.

“Jangan lama-lama. Batal puasa nanti!”

Kayuhan perlahan di kaki bukit. Terlihat bunga raya merah banyak yang berbunga. Dipetik dan diletak ke dalam bakul rotan. Dia mengayuh lagi.

Setiba di hadapan rumah kayu yang tersergam indah itu, dia menyusun langkah sumbangnya. Sekilas, imbasan yang merobek maruahnya tanpa siapa pun tahu — bermain dalam fikiran. Berkaca matanya melihat rumah yang dianggap syurga namun neraka baginya.

“Lah, kenapa tercegat dekat situ? Masuklah!”

Tersentak lamunannya. Dia mencapai raga rotan yang terjatuh dari genggaman dek ingatan hitam itu. Satu senyuman palsu terpaksa dipahatkan.

Daun pintu ditolak. Ekor matanya memerhati kelibat yang berada di situ.

“Satu… dua… tiga…” seorang demi seorang dikira. “Tak ada. Mana-"

Bahunya ditepuk, “Kira apa?”

Jasad yang dicari sudah muncul. Dia tersenyum. Soalan dijawab sebagai pemanis mulut. Sebaik sahaja selesai perbualan yang langsung tidak memberi makna itu, jasad yang menyarung baju putih itu melangkah ke kamarnya di tingkat atas.

Dia tersenyum.

“Nak ke luar kejap ambil angin.”

Dia menuju ke tangga luar yang menghubungkan ke tingkat atas. Satu persatu anak tangga dikira sambil tersenyum. Daun pintu pertama ditolak perlahan. Langkah demi langkah diorak.

“Kamar pertama, kamar kedua dan kamar keti…”

“Eh, dah muncul pun.”

“…ga.”

Tangannya ditarik perlahan. Pintu dikunci. Seperti biasa, mata jasad yang menyarung baju putih itu akan dipejam sebagai tanda bersedia.

“Ah!” matanya terbeliak.

“Satu… dua… tiga…”

Belati tajam yang diasah berhari-hari dibenam ke lehernya. Pekat darahnya sepekat ingatan hitam di awal tadi. Dia tersenyum. Baju putih yang dipakai bercorak merah.

Dia puas tersenyum melihat jasad tersebut menggelupur di atas tilam kotor itu. Melati putih dan bunga raya merah ditabur. Alkohol yang berada di sebelah jasad tidak bernyawa itu dituang tepat di tikaman.

Lalu, dia beredar pergi mengayuh basikal dan melintasi sungai.

“Balik! Dah nak dekat berbuka ni. Tak elok berendam lama-lama!”