Sunday, November 15, 2015

100 Days Wishlist

Selepas daripada tarikh hari jadi aku yang ke 21, entah apa rasa aku untuk menunaikan setiap satu persatu impian, idaman, hasrat dan dasar kehendak. Selain daripada rasa nak mati. Kejap, aku nak lap air mata. Okay boleh sambung. Maka, aku akan ceritakan semua yang telah tertunaikan sepanjang 100 hari ini.

Apa yang terjadi pada malam harijadi aku adalah bila aku dapat hadiah kena tengking dengan kakak aku atas alasan aku menolak peluang kerja yang dia cuba recommend dekat aku. Kerja dekat McDonald depan rumah. Aku terpaksa tolak sebab aku memang tak nak bekerja. Aku nak fokus dan siapkan manuskrip penuh LENDU.

Disebabkan itu, aku fikir-- barang-barang yang dah seminggu aku packing untuk ke degree dalam masa 3 minggu dari sekarang bertukar jadi plan untuk melarikan diri ke Lendu. Itu senarai wishlist pertama aku untuk dalam masa seratus hari.

Pertengkaran berlaku. Habis semua pekung dibuka. Aku dah tak menahan sedikit pun. Aku luahkan sehabis mungkin. Rahsia untuk melarikan diri telah diketahui. Aku tak cancelkan pun tiket untuk ke Lendu dan aku sangat berterima kasih dekat Dira dengan Faa sebab tolong aku dalam proses pelarian terancang ini.

Dalam masa yang sama, Dira ada ajak aku untuk ke Cameron Highlands. Walaupun plan asalnya untuk pergi dengan #NAAEK, tapi tak tertunaikan. Tak apalah. Dapat pergi dengan Dira dan Faa pun dah seronok. Sabtu itu, aku ke Cameron Highlands. Selepas 10 tahun-- akhirnya aku dapat menjejakkan kaki kembali ke sini.

Segala kenangan dan impian untuk menjejak rindu aku kepada arwah Mak termakbul. Mungkin ini hadiah tuhan kepada aku untuk harijadi kali ini. Dingin dia masih sama. Memeluk erat tubuh aku. Degupan dia masih sama. Berlagu dengan irama tenteramnya. Aku melalui denai-denai hati yang lalu. Melarikan diri dari keseksaan emosi yang tak tersanggupkan. Hujan ketika itu memahami sebagaimana perasaan sayu aku kepada Mak. Sungguh. Terlalu mendalam. Kerana di tanah ini kami melarikan diri daripada Ayah dulu. Bersembunyi dari cengkaman kebencian.

Ahad. Aku dibekalkan RM50. Hasil pinjaman Fika dan sedikit pemberian daripada kakak aku. Aku cakap ia cukup. Lalu dengan rasa yang memberati seluruh jiwa aku-- melangkahnya aku pergi. Seolah mahu memulakan penghidupan baru. Lebih terancang dan bersifat tertunaikan.

Tiga senarai sudah termakbul. Seterusnya, berjumpa dengan tiga manusia yang memberi makna kepada hidup aku sepanjang tahun ini. Mentari, Madu dan Mimpi. Secara diamnya-- aku tidak langsung memberitahu keberadaan aku di sini. Tidak sama sekali. Biar ia menjadi satu rahsia dan kejutan.

Hajat untuk sambung ke degree berjaya apabila tawaran kemasukan melayakkan aku ke Shah Alam. Bachelor in Journalism. Aku berasa sangat terharu. Impian aku tercapai lagi. Aku perlu membuat persiapan untuk ke sana. Perlu kumpul duit. Dan sebelum ia menjadi kenyataan-- biar apa yang sekecil-kcilnya di Lendu ini menjadi kenyataan dulu.

Perjumpaan pertama yang sekejap dimulakan dengan Mentari. Walau tak lama tapi cukup untuk bertanyakan khabar. Benang putihnya membaluti aku. Untuk sekadar pinjaman. Sekadar cukup. Lalu, aku ke majlis perkahwinan Buff dan Amal. Alhamdulillah. Aku gembira. Sebab dulu aku hanya mendengar Buff mahu memperisterikan dia dari mulut. Namun hari itu, bersaksikan segala persahabatan, cinta dan keluarga-- akad yang memeterai kasih terkabul. Mereka selamat membina masjid tuhan dan semoga hingga ke syurga.

Dalam pada itu, aku teringin untuk berjumpa semula semua kawan-kawan aku. Berkumpul dan bergambar bersama berpakaian serba putih semasa di majlis persandingan Buff. Tapi tak dapat disebabkan terpaksa dan dipaksa menemankan Syahiran ambil lesen motor. Tahap kesabaran aku macam disiat-siatkan. Tapi masih sabar. Mungkin bukan rezeki aku.

Hajat untuk ke Showcase Fynn Jamal tak dapat ditunaikan apabila duit tak ada untuk beli tiket dia. Aku berasa sedikit kecewa. Tapi mujur ada DS yang sanggup datang jumpa aku dekat Lendu. Kebetulan dia ada pertandingan teater. Dia bawa aku jalan dan pergi ke Cafe Cormisme. Bukan setakat bawak-- dibelanjanya aku sekali. Betapa rasa bersyukurnya aku. Dia akan wakilkan aku ke Showcase Fynn Jamal itu nanti. Biar aku dengar cerita daripada dia. Dia sangat pandai dalam tukang bercerita experience.

DS hantar gambar konsert Fynn Jamal. Aku mula menggeletis macam cacing kepanasan-- tak senang duduk nak dengar lagu-lagu Fynn Jamal. Nasib baik Apple Music aku masih ada free trial. So, habis semua satu album Puisi Tepi Jalan aku download. Aku sangat berpuas hati. Dengan keadaan apa yang aku rasa ketika itu tersimpul menjadi satu dalam lagu-lagu dia. Favorite aku adalah Suatu Pernah dan Sepertinya.

Duit habis. Tiada satu pun yang tertinggalkan. Entah macam mana Ayah call pagi itu. Dia merasakan aku dalam kesusahan. Aku tak sangka yang Ayah bank in kan duit kepada aku. Naluri seorang Ayah. Setelah hampir 5 bulan langsung aku tak contact dengan Ayah, hari ini tuhan mahu tunjuk.

Tapi macam biasalah, duit akan habis sedikit demi sedikit. Sampai tahap nak kena pinjam dengan orang. Aku bertemu Madu. Dia memberi pinjam sedikit wang kepada aku. Lepas untuk makan dan print draft '10 Tahun'. Pertemuan yang juga sekejap sahaja di Dataran Ilmu itu cukup untuk aku menghabiskan apa yang terbeban di hati.

Aku bertekad untuk keluarkan '10 Tahun'. Hasil daripada duit yang ada ini nanti aku nak bayar yuran degree. Aku tak mahu susahkan sesiapa lagi. Biar aku cuba buktikan.

Aan datang ke Lendu. Dia ajak aku tengok movie. Pagi-pagi lagi dia dah sampai dekat depan AG4. Kitorang ke Aeon hanya untuk tengok cerita Inside Out. Cerita dia sangat mengena dan mencangkup hati aku. Menepat ke dalam jiwa dan perasaan aku ketika ini. Perasaan yang sedih.

Citrawarna 5 berlangsung. Apa yang terjaadi apabila kami ingin bersatu-- ahli TPK yang lama. Tapi tak dapat berlangsung disebabkan beberapa hal. Malam itu, aku jumpa dia. Mimpi. Ya aku terlihat dia tetapi tidak secara dekat. Entah kenapa aku jadi janggal dan rasa untuk membenci itu tiba-tiba terlahir kembali.

Aku mengelak daripada dia. Juga dari wujud Mentari. Terlalu inginkan tetapi terpaksa pergi. Dari situ aku terpaksa mengiyakan supaya membenci. Aku tak mahu lagi harapan-harapan yang terlalu mudah untuk dibinasakan. Seperti selalu-selalunya.

Aku menunggu reply daripada Aan dan yang lain. Aku mahu keluar bersama mereka. DS yang aku jumpa tempoh hari masa di Citrawarna 5 memberitahu show dia dah dekat. Aku juga sempat pinjam duit daripada dia untuk modalkan terlebih dahulu '10 Tahun'. Terima kasih DS.

Kemudian plan seterusnya adalah apabila Aan bercadang untuk datang lagi ke Lendu. Dia kali ini buat perancangan berjalan satu Melaka. Team kami adalah Ana, Saufi, Alfiq, Aan dan Aku. Kami berlima menonton persembahan teater DS. Lepas habis tadi, kami ke Cafe Cormisme.

Keesokannya pula, kami ke Klebang. Hajat untuk tangkap gambar lagi dekat sini berhasil. Habis dekat sini, pergi ke Ice Bowl dekat area Pak Putra. Segala apa yang terjadi sepanjang dua hari ini cukup menggembirakan aku untuk melupakan kesakitan sementara ini. Terima kasih korang walaupun bukan satu Melaka, kan?

Dalam masa seminggu '10 Tahun' terjual laju daripada sangkaan aku. Target untuk dapatkan RM1,000 berjaya lagi. Berbekalkan duit ini-- aku akan ke degree.

Beberapa hari lagi aku akan ke Shah Alam. Ada beberapa perkara penting aku belum sempat untuk tunaikan. Jadi aku segera merancang sesempurna mungkin. Aku dapat keluar ke Cheng sampai accident. Dapat masakkan makanan untuk Madu. Makan sekali. Juga hadiah kepada dia.

Copy '10 Tahun' dan baju Mentari sedia untuk dipulangkan. Begitu juga Diari Indah Mimpi dan copy '10 Tahun' untuk Mimpi. Malam itu, malam terakhir aku di Lendu. Aku perlu lunaskan apa yang tertangguh. Aku pergi mencari Mentari dan Mimpi. Berjaya.

Mentari tersenyum. Dia menyenangkan aku. Terima kasih. Sempat bersembang dengan dia. Walaupun sekejap juga. Tetapi tak mengapalah. Memadai.

Aku kemudian pergi makan sebentar. Tak tersangka terserempak dengan Mimpi di sana. Aku langsung tidak memnadang tepat ke arah mata dia sebagai tanda kebencian itu lebih menguasai aku daripada bercakap dengan dia. Tapi dua benda tadi harus sampai kepada dia.

Nasib baik ada kawan dia. Aku berikan kepadanya dan minta dia sampaikan apa yang patut kepada dia. Semoga ada jawapan.

Megat tumpangkan aku ke KL. Aku terlalu sedih untuk meninggalkan AG4. Diorang memberi aku perteduhan yang sangat selesa. Hari-hari yang begitu banyak drama dan kisah untuk diingati sepanjang hidup. Terima kasih AG4.

Pendaftaran selesai. Class berjalan. Semua berjalan lancar. Degree life bermula.

Aku masih mahu beberapa lagi ditunaikan. Alhamdulillah. Impian untuk ke Broga tercapai. Housemate bawak aku ke sana. Walupun muntah-muntah tapi aku nak jugak. Gayat tinggi tak menjadikan aku untuk membantutkan harapan aku nak sampai di puncak. Dengan bawak buku 7 Tahun 7 Hari lagi.

Nak makan makanan masakan kampung pun dapat. Nak apa semua dapat sepanjang 100 hari ini. Terima kasih tuhan. Terima kasih.Impian untuk konvo pun dapat. Terlalu manis. Juga untuk mencipta rekod tak masuk hospital bila bulan Oktober pun berjaya. Semua berhasil.

Aku juga berhajat untuk bertemu Diana Nuzuin di #Hujan10Tahun pun dapat. Hantar Azan dekat airport pun dapat. Kira semua proses dalam 100 hari ini adalah senarai wishlist yang tertunaikan. Juga, hajat untuk keluarkan LENDU dapat terlaksana. InsyaAllah Februari 2016.

Dan satu sahaja lagi, dapat wish birthday Kecik untuk hari terakhir 100 hari aku moga terdapatkan.


























Wednesday, November 11, 2015

Hari Jubah

Lebih daripada 3 tahun berada dekat Lendu dan pada tarikh 8 November 2015 merupakan pengakhirannya. Apa yang aku impikan semalam-semalamnya hari ini (pada tarikh tersebut) telah terbukti aku mampu untuk menghabiskan diploma. Walaupun ada yang nampak 3 tahun itu kejap. Bagi aku 3 tahun itu terlalu lama untuk aku tempuh segala bermacam jenis drama yang tak berkesudahan.

Apa aku perlu cerita lagi macam mana kehidupan aku semasa diploma? Rasanya tak perlu. Kalau mahu cari. Tak berkunci. Silakan. 

Through this bittersweet of diploma's life-- terlalu banyak kenangan yang tak terungkapkan. Terlalu sedih untuk berceritakan semuanya dalam masa yang singkat. Well, it's so typical of me to talk about myself. Sekali lagi, jemput cari sendiri kenapa.

Macam biasalah, aku takkan berharap sangat dengan sesiapa untuk datang mana-mana hari penting aku. Sebab dah biasa dari 2005 lagi macam ini. Bila dulu masa sekolah ada hari PIBG atau apa-apa lah yang perlukan kehadiran ibu bapa sanak saudara cucu cicit-- there will nobody came.

Walaupun rasa sedih, yes sebab hari penting kau lagi-lagi konvoksyen sendiri kan? But, it doesn't matter anymore. Alah bisa tegal biasa. Ni dah tegal luar biasa. Maka aku pun berhuhuhuhu berseorangan.

Tapi, Ayah muncul at the end of the Graduation Day. Aku sangat tersentuh, sedikit. Dengan dia dalam keadaan demam. Terlalu nampak muka dia yang tak sihat. Dia gagahkan juga. But, ia tak mengubahkan apa-apa pun perasaan aku yang selama ni terbuku. Tak.

Terima kasih jugak dekat family Aan yang belikan bunga konvo untuk aku. Aku rasa sangat-sangat terharu sebab aku fikir tak ada siapa yang akan bagi aku bunga atau hadiah untuk aku masa hari penting aku ini. Tapi tak sangka ada. Terima kasih sekali lagi.

Aku juga ada berharap yang beberapa orang penting dalam hidup aku sejak dua menjak ini datang. Dan sekali lagi tetapi, tak ada jugak yang muncul. Sebab aku bukan siapa-siapa yang perlu dihargai. Tak perlu diberi maknakan oleh orang lain. Do I care?

Aku cuma dah malas nak berharap benda-benda yang merapu. Yeah. Sebab banyak kali dah letak harapan tinggi sangat tapi satu pun tak tertunaikan. Ibarat kaca jatuh berkecai atas lantai. So, nak avoid sakit itu lagi-- aku pilih untuk letak kaca tu atas lantai je. Barulah bagus sikit. Kena sepak macam sial pun masih lagi elok. Boleh pakai ke teori aku ni? Ah peduli.

The best part is bila benda yang aku tak sangka boleh terjadi. I wouldn't tell it here. Entah lah nak. Tak tahu nak cakap macam mana sebab gembira tu datang sekejap. Sekejap pun jadilah. Kalau lama-lama nanti potong kaki.

Ingat tak yang aku cakap-- grad on time ni sangat best? Bagi akulah. Sebab kau dapat grad dengan kawan-kawan satu batch dengan kau. Itu je ke? Terpulang pada pentafsiran masing-masing sebab masing-masing punya pemikiran. Bukan aku.

So, here-- my pre-convo pictures.















Saturday, October 31, 2015

Fuck You October

Apa yang terjadi untuk Oktober kali ini?

Separuh masa pertama ini dihadiahkan dengan sedikit kecelaruan emosi. Emosi dalam jiwa paling hujung aku di siat lagi dengan rakus. Melapah tanpa pernah rasa sedikit pun belas. Apakah memang selayaknya untuk aku? Atau memang benar untuk aku? Berpecahbelah tuhan rasa aku. Kenapa lagi? Aku penat.

Aku mulakan dengan rasa yang bermacam-macam. Buntu, kesal, hitam, benci dan segala negativiti muncul. Aku tak tahu kenapa. Aku dah cuba untuk menyingkir keburukan. Tetapi tak berjaya.

Malam itu-- 6 Oktober, mimpi buruk datang. Dalam mimpi tu aku merasakan kesakitan yang entah tak dapat dibayangi kesengsaraannya. Membakar setiap inci kulit aku. Bila aku sedar, aku menangis ketakutan.

Keesokannya, menjadi sedikit murung lagi apabila kena submit news assignment dan mid term test. Shit. I was so creepy. Aku kononnya tenang bila Ruzanna asked me for many times "Babe are you okay?".

No, i'm not.

Habis semua orang dalam minggu yang sama aku rasa nak marah-- sebagai musuh. Setan sedang memakaikan aku dengan hasutan-hasutan amarah. Rasa yang langsung tidak bersalah.

A week after that, result keluar. I got 1 over 20 marks. It's ONE over TWENTY for the mid term test. Untuk news assignment merosot. 6 over 10 daripada kebiasaannya dapat 8.5 and above. I'm dead.

Ulcer teruk. Rasa sakit lama mula datang. Semua berlintang pukangkan. Kenapa?

Apa dajalnya kesemua benda teruk datang bulan ini? Spec mata patah. Duit melayang-layang. Ah bermacam lagi.

FU OCTOBER.

Tuesday, October 06, 2015

Ke Awan Biru

Mak, hari ini 6 Oktober. Genap 10 tahun dari tarikh Mak Tidur Selamanya. Semoga Mak tenang dekat sana.


Ke Awan Biru

verse 1
berlari aku mengejar bintang
tanpa peduli lagi gelap atau terang
yang aku cuma mahu; sayang
demi di peluk jiwa oleh orang

verse 2
bawalah aku bersama
terbangkan mimpi ke sana
mahu aku tidur selamanya
sayapkan aku ke langit jingga

chorus
tak ada sesiapa yang memahami
seolah aku di hukum benci
menghirup semua seperti--
aku tak lagi bererti

bawalah; bawa aku pergi
bawa aku terbang tinggi
tak memakna lagi di sini--
cinta sudah bagi aku mati

verse 3
langit berlagu pilu--
menari setiapnya irama sayu
dan jujurlah pada aku
bisa untuk aku ke awan biru?

*chorus

bawalah
terbanglah
sayapkanlah
--aku ke awan biru
--bersama kamu.

Friday, October 02, 2015

10 Tahun: Oktober

Aku tak pernah untuk mengetahui dia datang lagi. Tak langsung nak merasakannya. Aku tak sedikit pun teruja. Cuma persoalan aku adalah, "Kenapa kau wujud?" Kenapa tidak kau terpadam dalam seluruh kalendar hidup aku. Cukuplah dengan apa yang telah kau buat sepanjang 10 tahun yang lepas dalam hidup aku. Aku dah letih.

-- Hari ini, aku dah penat untuk menyatakan yang aku terlalu rindu pada Mak. Dah berapa bulan aku terpisah dari dia. Aku masih bersekolah. SK Tun Dr Ismail, Perak. Mak di Negeri Sembilan. Berubat. Betapa aku mahu berada di sisi Mak waktu ini. Menginginkan di cinta seperti biasa oleh kasih Mak. Mak, hari ini dah 1 Oktober 2005. Bila Mak nak balik?

-- Pagi dingin. Sejuk mencengkam. Seperti biasa, bangun seawal jam 6 pagi untuk ke tandas. Elak daripada berebut pelbagai benda dengan sepupu yang lain. Sejak Mak berubat di Negeri Sembilan, aku menumpang di rumah Mak Yah (Mak Saudara) di Kg. Buaia, Perak.

-- Oktober 5, 2005 merupakan Ramadhan yang pertama tanpa Mak. Selalu bangun sahur Mak yang akan kejutkan. Dengan suara lembut dia. Dengan penuh tertib dia. Papah aku ke kerusi dan meja makan kalau aku mamai. Tapi itu dulu. Hari ini, tahun yang ke sebelas umur aku, bangun sendiri. Kejutkan sepupu yang lain untuk sahur. Aku cuma mengharapkan tubuh Mak keluar dari dapur menghidangkan makanan. Cuma itu yang aku mahu. 

Berbuka tidak ada yang istimewa. Beberapa bulan lepas Mak janji nak berbuka sama-sama. Berhenti berniaga macam tahun-tahun sebelum ini. Pergi terawih sama-sama. Dan dia janji, "Mak nak tahun ni bulan puasa kita anak beranak sekali pergi masjid solat terawih." Itu ayat Mak.

-- Aku fikir aku sudah ditimpa malang. Tidur langsung tak dapat nyenyak. Bangun sahur dan cuba lagi untuk tidur selepas itu. Pagi Khamis itu terlalu susah untuk mengharunginya. Pukul 5.30 pagi dah bersiap-siap untuk mandi. Nak gosok baju, tiba-tiba iron jatuh atas tangan kanan. Tangan melecur. Tapi masih lagi boleh bertahan untuk gosok baju dan terus ke sekolah.

Kawan-kawan tanya pagi tu, "Kenapa tangan kau?" waktu kutip daun-daun gugur dekat padang sekolah. Ya, itu adalah rutin di SKTDI dulu. Aku cuma cakap tak ada apa-apa. Kelas Cikgu Zahid bosan. Aku termenung jauh. Seberapa ketika lepas itu, phone NOKIA 3310 yang Ayah beri tempoh hari berdering. Aku gelabah dan berlari ikut pintu belakang kelas.

Nombor yang tertera adalah daripada rumah di Negeri Sembilan. "Nak bagitahu dia ke?" Lalu panggilan terputus. Aku masuk ke dalam kelas dalam keadaan bingung. Dan menyambung menungan. Pintu di ketuk. Dua kelibat murid darjah enam menyeru nama aku.

Berita Mak meninggal telah menjahanamkan perasaan aku pada hari Khamis, Oktober 6 2005 bersamaan 2 Ramadhan. Segala rasa cela telah membuat aku ingin mati mengikut Mak ke atas langit. Maka aku berada dalam tempoh satu bulan yang semua orang tidak nampak sinar pada mata aku. Muka dan mata yang kosong. Tidak bercakap sedikit pun. Bila malam menangis sekuat mahunya. Tidur dan terjaga. Seluruh Oktober itu kosong tanpa sedikit pun dari kotak suara terdengarkan di sebelah siangnya.

-- Oktober 2006, aku bergaduh dengan adik tiri yang melemparkan kata-kata kesat ke arah aku. Dia kata aku adalah penumpang. Dia kata aku pembawa malang di rumahnya itu. Bumi Kelantan melaknat dengan kehadiran aku. Dan dia menyuruh aku pergi berambus dari rumah itu.

Aku tak fikir panjang. Keputusan untuk melarikan diri adalah keputusan muktamad. Melarikan diri ke entah mana tempatnya dengan kudrat sendiri berjalan kaki.

-- Oktober 2007, dan aku tidak pasti siapa bayangan tidak berjasad mengikuti aku sepanjang malam itu. Menenung tajam dan terus memerhati gerak langkah aku. Hanya kaku dalam bayangan hitam dia. Memerhati lagi dan lagi. Seterusnya membenarkan aku diracau secukupnya. Merumahkan jasad tanpa pernah segan-- aku bukan milik dia.

-- Oktober 2008, perasaan yang hancur dengan caci maki orang telah menghadam dalam otak. Aku berlari ke atas bangunan paling tinggi di sekolah dan mahu melompat dari sana. Mungkin menyabut nyawa sendiri adalah perkara yag paling bagus sekali untuk merasa tenang? Tapi jasad di tarik dan ditenangkan manusia ini. Memberi kata-kata yang membina untuk hidup.

-- Oktober 2009, PMR adalah penentu. Entah macam mana malam sebelum paper Matematik, sakit gigi tiba-tiba datang. Rasa macam yang nak mati sebab dia menarik ke mata dan kepala. Aku menangis yang teramat bila mata mula hitam. Tak nampak apa-apa. Aku fikir aku akan mati. Tapi tak. Masih ada nyawa yang bersisa.

Manusia yang tahun sebelumnya tadi masih wujud, dan dia bikin onar. Bawa untuk ikut berjudi kasih. Menghabiskan duit untuk dia. Entah berapa 4 angka kosong titik kosong kosong diberi kepada dia dengan tidak pernah tahu rasa sebenarnya aku dikhianati.

-- Oktober 2 2010, Fika call. Dia menangis. Aku fikir mak dia dah meninggal. Tak. Bukan mak dia. Tapi, Kimi. Amir Hakimi. Kawan sekolah rendah aku. Kawan yang nakal dan memberi salah satu pengalaman terbesar dalam hidup aku. It's been 5 years without any news about him. Dan kali terakhir aku berjumpa dia itu adalah perjumpaan yang terakhir kalinya.

Beberapa hari kemudian, Fika call aku di sebelah malamnya. The same date where Mak meninggal 5 tahun lepas. Fika menangis lagi. Mak dia sudah diseru malaikat.

Aku pulang daripada rumah belakang. Maghrib bertandang. Apabila dua tiga minit di ruang tamu, Ayah datang menarik rambut aku dan mencampak tubuh aku ke atas lantai. Di tumbuk dan di lempang secukupnya. Kesalahan yang dituduh tanpa sebarang usul periksa secukupnya.

Alignment hidung lari; patah. Tapi tak buat apa-apa. Pergi ke sekolah dan jawab final exam Add Math dalam keadaan muka bengkak dan sakit badan. Semua bertanya pada aku. Dan cuma aku mampu membatukan diri.

-- Oktober 2011, bila cinta itu menguasai segala akal fikiran. Bila kasih itu menjadi sangat subjektif. Bila rindu itu diseru dan merupakan sejenis abstrak. Bersatu dan membelitkan leher dengan tiada ruang untuk bernafas.

Doktor yang tiap-tiap minggu merawat aku di hospital kata aku ada masalah mental. Dia kata aku dah tidak siuman. Dan untuk menunjukkan yang aku bukan gila, aku menggengam semua ubat-ubatan dan menelannya sekaligus. Entah. Aku tak tahu apa yang berlaku. Sedar-sedar di hospital. Memandang dan melihat aneh.

Kaunselor menunjukkan gambar-gambar aku menconteng pakaian-pakaian di dalam locker dengan dakwat merah, marker merah dan apa sahaja yang berwarna merah. Anak patung beruang di conteng dan ditulis kata kata kesat. Satu surat cinta mati yang langsung tidak masuk akal ditujukan pada sebuah benda tidak berjasad.

-- Oktober 2012, 2013, 2014, yang berada di atas semua berulang. Dengan secara tidak tahu kenapa. Dengan kewujudan rasa nak mati. Dengan nota-nota yang tidak masuk akal. Dengan jiwa-jiwa yang terlalu kosong. Dengan rasukan-rasukan yang tidak tahu ingin berhenti. Dengan semua yang mencelakakan.

Tuhan, kejutkan aku bila Oktober berakhir nanti boleh?