Friday, May 09, 2014

Ratuku Bonda

Saat pagi 6 Oktober 9 tahun yang lalu, nangis aku tak berguna lagi. Walau aku pasakkan kepercayaan dalam hati sekalipun. Mak aku takkan bangkit kembali.

Dan pada ketika ini, aku terngiang melodinya. Buat Bonda bersempena Hari Ibu.

Ratuku Bonda

verse 1
Tangan tua yang mengusap kepala aku--
Membelai
Redakan rasa membadai

Aku lihat matanya bergenang
Dan aku tanya-- dia balas tenang
"Habuk sayang"
Panggilnya "Sayang"

Wahai bonda ceritalah apa yang ada dibenakmu
Agar anakanda tahu--
Apa yang merunsing
Buat kau jauh terasing

Wahai bonda bersudahlah membanting tulang asamu--
Berikan padaku
Mari aku bantu
Seka peluhmu
Serahkan pada aku

verse 2
Suara tua yang selalu menidurkan aku--
Memukau
Terpadam segala galau

Seketika tertahannya serak
Disebutnya-- abang kakak
"Bersamamu kelak"
Ujarnya "Kelak"

Wahai bonda lihatlah anakanda ini--
Sudah bisa diri
Sudah pandai lari
Mahu terbang tinggi
Mengapa kau pergi

Wahai bonda dengarlah seperti selalu
Anakanda nyanyi hiburkanmu
Setiapnya kerna aku--
Mahu terus hidup bersamamu

chorus
Masa kecil ingat lagi
Jerit tengking suara tinggi
Semuanya tak ku peduli--
Asal semua kau penuhi

Masa kecil ku kau terluka
Bikin nangis setiap masa
Bentak bila duduk semeja--
Sesuka hati aku memaksa

Bonda banyaknya kau bersabar
Walau rajukku bertebar
Langsung kau tak tercabar
Marahmu tidak terpancar

Bonda kenapa engkau pergi
Mana mahu aku berperi
Syurga mahligaimu nanti
Tenanglah kau bersemadi

Hanya bonda, hidup anakanda.
Bonda hamba, ratu hamba.

Monday, May 05, 2014

Seumur Aku

Cukuplah masa yang ada aku berkabung seketika dengan seorang sahabat yang sudah tumbuh sayapnya terbang tinggi tak kembali.

Pada masa aku tercelik mata, aku berfikir jauh sambil melihat pada manusia Seumur Aku;

Seumur aku,
Banyak yang sudah berlari.

Seumur aku,
Tempuh hidup berliku dengan berani.

Seumur aku, 
Ramai jelajah semua sendiri. 

Seumur aku,
Sudah genggam wang simpan dalam peti.

Seumur aku,
Berkali-kali naik burung besi.

Seumur aku,
Dulu meminta sekarang sudah bisa memberi.

Seumur aku,
Simpanan bisa tampung diri.

Seumur aku,
Terbang tinggi tak kembali.

Seumur aku,
Ada yang bertemu Ilahi.

Seumur aku-- mereka falah pada mata aku. Falah yakni berjaya pada kehidupan sendiri.
Bila masa aku ? Masih aku tunggu ?
Aku perlu-- target sampai tertuju.

Sunday, May 04, 2014

Tidur Selamanya

Aku tulis lagu ni untuk Allahyarham Ezu yang bertemu kekasih abadi dia pada 2 Mei 2014-- menghidapi kanser tulang tahap empat.

Ezu, kau adalah pendengar setia setiap mahu aku. Kau janji dengan aku nak pulih dan tetap bersama aku dalam payah kau mengharungi kesakitan ni kan? Aku semacam tak dapat terima hakikat, dengan rasa yang memberat untuk relakan kau terus berangkat.

Tenanglah di sana Ezu. Moga kau tetap dalam hati setiap manusia dan kenangan antara kau dengan aku takkan pernah terpadamkan.

Kau tetap terpahat, sahabat.



Tidur Selamanya

verse 1
Di manakah kau berada
Janganlah berdiam saja
Sahutlah-- hilangkan gusar aku
Lihatlah langit sedang mendung kelabu

Mata berhentilah berkaca
Sebak pergilah dari jiwa
Cukuplah khabar berita--
Kau sudah terbang ke sana

verse 2
Masa tolonglah membeku
Aku terlalu ingin tahu
Adakah dunia sedang menipu
Katakan yang kau sedang enak beradu

Janji masih banyak
Janganlah kau nyenyak
Waktu belum senja lagi
Kau sudah bertemu Ilahi

chorus
Tidurlah selamanya
Tenanglah kau di sana
Dunia ini perit kau tempuhi
Berangkatlah kau pergi

bridge
Benar-- aku sedar
Walau teramat sukar
Aku harus akur
Lenalah lenalah lenalah-- sayang tidur

"Manakan daya kita bertemu
Saat kau sudah diseru
Bertamulah kekal dalam kalbu
Aku juga bakal turutmu--"

Tidur selamanya.