Tuesday, October 06, 2020

26, Dan Tentang Hari Ini

Menjadi dewasa — melalui hari-hari biasa yang mungkin terlalu kosong untuk dihadapi dan tidak ada satu pun yang istimewa lagi. Tak ada kata-kata manis setiap kali jam 12 tengah malam. Tak lagi menjadi paling penting dalam kehidupan sesiapa.

Mungkin apa yang aku rasa hari ini adalah sebuah proses memiliki sebuah hari yang normal tanpa perlukan sesiapa lagi. Kegembiraan yang disengajakan dan diuli dengan perasaan yang diacu sendiri.

Berkali-kali aku menulis tentang keadaan macam ni. Bahkan mungkin terlalu kerap setiap kali menjelma tarikh hari jadi sendiri. Entah? Mungkin memang itu takdirnya. Kita menjadi seorang yang mula pasif dan tidak diinginkan.

Tahun ni berlalu dengan pantas dan tanpa diduga pelbagai perkara bersilang dan membuatkan diri alpa. Entah, aku tak tahu nak menyusun ayat macam mana saat dan ketika ni sebab mungkin segala perkataan yang aku nak luahkan tu dah habis di awangan. Melayang dan menembusi awan.

Ogos, dan setiap kali muncul bulan keramat dalam hidup aku— pelbagai jenis doa aku titipkan. Segala yang baik-baik aku harap akan terjadi dalam bulan ni. Tapi, kali ni aku silap. Sebab… kali ni dia lagi mencabar dan membuka mata.

Sebagaimana hubungan yang bertahan selama berbelas tahun sekali pun akan musnah dalam sekelip mata. Sebuah penantian yang dipertahankan raga daripada segala duka. Akhirnya tergadai jiwa. Sebegitu sahaja.

Dah berbulan rasanya aku pilih untuk diam. Untuk tidak lagi merasakan apa-apa yang pernah suatu ketika dahulu teguh. Sebab bagi aku, sekarang dah sepatutnya fikir tentang masa hadapan dan bercakap tentang kejujuran yang sebenar. Bukan dalam fantasi, bukan mainan lagi.

Dalam satu bulan yang sama, terpampang segala kegembiraan. Satu persatu perkhabaran diterima. Aku hanya mampu tersenyum dan menyimpan apa sahaja yang terbuku dalam dada. Tak sangka, akhirnya semua mula sempurna.

Aku tak mampu untuk zahirkan apa yang aku rasa. Tak mampu nak jujur dengan segala kebenaran dan terlalu berat untuk aku luahkan. Di satu sudut kecil, aku masih menunggu untuk seseorang ambil dan tanya, “Kau okay?”

Serpihan luka yang terus berdarah dan tak tertanggung lagi. Dan masih hari ini. Menelan masa-masa yang terbazir dengan lelah sama.

Tentang hari ini, di bulan keramat. Meninggalkan kesan yang teramat mendalam dan perit untuk ditelan.

No comments:

Post a Comment

jika tak tersenangkan; disudi-silakan
beredar angkat kaki-- pergi jalan.

"setiap patah-- bangkit, kayuh semula"