Saturday, December 03, 2022

“He Drove Me Back…”

Beberapa hari lepas, aku sengaja bukak balik blog. Sebab tak tahu nak cakap dengan siapa. Tak tahu apa patut aku buat dengan benda-benda mengarut dalam kepala. Lepas DM kawan lama aku, dia menyedarkan aku tentang beberapa benda yang aku rasa tenang untuk menerima segala hakikat yang ditakdirkan sekarang. Dan macam biasa, ke sinilah tempat aku - aku akan baca balik semua diari-diari lama dalam ni.

Tak lama lepas tu, aku perasan satu ruangan dalam blog ni — yang sebenarnya dah lama aku tak pedulikan. Ruangan di mana aku tinggalkan email untuk orang contact aku. Which satu masa dulu dekat situlah tempat aku selalu terima karangan panjang daripada orang. Perbualan yang hanya sekadar di dalam email sahaja. Tak pernah tahu dan kenal siapa di sebalik emel-emel strangers tu. Maka, hari ni terdetiklah nak menggeledah inbox email ni.

Dah lama sebenarnya aku tak bukak email yang attached dekat blog ni. Tak aktif macam zaman masa semua benda kena riwayatkan dalam blog. Scroll, scroll… aku berhenti dekat 1 email ni.


Title: Remember me?

“Hi Blue. Saya tahu Blue mungkin takkan sedar email ni masuk dan berkemungkinan ini merupakan hari yang dah pun bukan hari saya berdukacita. Saya tahu saya macam orang bodoh email dekat Blue. Tapi lepas terbaca blog post Blue beberapa hari lepas, saya rasa yang Blue dah ‘aktif’ semula menulis di sini. Harapnyalah.

Jadi saya ambil keputusan untuk menulis, berkongsi dan meluah tentang apa yang berlaku dengan hidup saya kebelakangan ini.

Remember me?

Saya pernah tulis 1 email dekat Blue dulu. Sama macam saya tulis bertahun yang lepas dekat Blue. Tentang hidup saya yang saya kongsikan. Fast forward, hari ni saya nak kongsikan lagi apa yang berlaku dengan saya. 

I just self-broke up.

Saya tak tahu nak cakap macam mana tapi mungkin itu adalah perkataannya. Saya tak tahu nak ungkapkan bagaimana sebab saya dah habis perkataan untuk mentafsirkan apa yang terjadi dengan saya... dan dia.

Can I start this rant from the beginning?

Saya dan F kerja di tempat yang sama. Satu team yang sama. Tak ada apa-apa yang istimewa dalam kehidupan bekerja bersama. Tak pernah wujud apa-apa. Melepak? Pernah, lepas habis waktu kerja dengan kawan-kawan sekerja kami. Kadang-kadang masa melepak, dia bawak pasangan dia.

PKP terjadi. Dia berhenti. Dan banyak lagi perkara berlalu pergi.

Dan tiba-tiba satu hari, saya dapat mesej daripada bekas rakan sekerja saya ditempat lama, "Dia cakap you bestfriend dia."

Bestfriend? Tapi sejak bila kami declare, kami kawan rapat? Atau mungkin sebab beberapa kali kami habiskan masa texting borak kosong sebelum ni. Dan dia selesa dengan cara kami bertanya khabar kepada satu sama lain. Saya tersenyum.

Fast forward, beberapa bulan sebelum penghujung tahun 2021. Kami banyak habiskan masa bersama. Keluar menonton wayang, keluar makan berdua dan berjalan ke merata tempat. Satu perasaan yang saya tak dapat gambarkan betapa gembiranya hidup saya waktu itu. Entah macam mana, kami satu kepala. Apa yang saya selesa dan suka, itu juga yang dia selesa dan suka.

Saya jarang benarkan orang masuk ke dalam 'ruang' hidup saya. Melainkan saya dah percaya dan selesa sepenuhnya dengan dia. Macam menelanjangkan jasad dan jiwa untuk orang yang dulunya bukan sesiapa dan akhirnya menjadi insan yang penting dalam hidup saya. Dan F adalah salah satu orangnya. Saya benarkan dia untuk bermain dan meneroka hidup saya.

Maka, tibalah Disember 2021. Di mana pada masa itu saya berada dalam keadaan yang sangat huru-hara. Antara melepaskan dan menyimpan sesuatu perkara yang melibatkan hati. Saya kesal tetapi dengan lapang jiwa melepaskan seseorang yang saya fikir akan menokhtahkan hidup bersama. Dalam kesedihan yang melampau dan dalam perjalanan pulang ke kampung, saya dapat satu pesanan ringkas daripada F. Saya tersenyum. Seakan perkara yang melukakan saya tadi tak wujud lagi. Mungkin F adalah orang yang sanggup menyambut saya dari luka ini?

Ya, F datang tepat pada masanya. Merawat saya.

Saya bersyukur yang dia datang dan serikan hari-hari saya di malam terakhir tahun baru. Jelas dan takkan mati memori antara kami berdua sewaktu menyambut tahun baru tu. Bermula daripada malam tu, saya ambil keputusan untuk lupakan segalanya dan setia pada penyelamat emosi saya ni. Tak kira apa pun.

Tapi setiap hari, saya rasa perasaan tu sering berubah. Ada hari saya rasa, saya cuma manusia biasa dalam hidup dia. Ada hari yang saya rasa, saya paling penting dalam hidup dia. Dan ada hari yang saya rasa, saya dibenci dan merimaskan dalam hidup dia. Saya tak reti nak nilai siapa saya dalam hidup dia seharian. Penting ke saya? Saya nakkan jawapan.

Oh, saya dah beritahu ke yang saya kembali berjumpa psikiatri saya disebabkan dia? Mungkin Blue rasa macam saya gila. Tapi Blue tak salah. Mungkin saya dah gila. Saya menangis dan menangis beberapa hari berturut-turut hanya kerana saya rasa dilayan seperti sampah oleh F. Saya rasa dunia saya berpusing dan berpaksi pada dia selama berbulan-bulan bersama F.

Kami dah lakukan bermacam-macam perkara sama-sama saban hari dan waktu. Sampai ada yang dah cakap-cakap tentang kami berdua. Tapi F hanya gelak dan berpura seperti itu semua biasa sahaja. Tapi bagi saya tidak. Saya nak dia anggap benda ni serius. Saya bukan tak selesa dengan orang lain, saya tak selesa dengan cara dia bertindak dan menerima benda ni. Seolah waktu yang kami berdua selama ni habiskan bagai tak bermakna di mata dia dan hanya sekadar untuk menghabiskan masa saja.

Macam saya katakan tadi Blue, saya cuma mahukan jawapan daripada dia.

Jadi, apa yang saya lakukan adalah... tinggalkan satu pesanan yang dikira sebagai hint kepada masalah saya ini. Tapi do you wanna know what happened? F tak dapat teka. Dia rasa saya tujukan mesej tersebut untuk orang lain. Dia rasa macam saya sedang jatuh cinta dengan someone dekat office saya. Saya tergelak sendiri sebab jangkaan saya yang dia akan terus sedar.

Dia nasihat saya macam-macam benda termasuk suruh saya confess saja dekat orang itu dan terima saja apa feedback yang akan diberikan walaupun ianya pahit. Semua akan okay selepas saya luahkan pada orang tersebut.

Tanpa cakap panjang, saya terus berterus terang yang saya maksudkan dalam hint-hint sebelum ini adalah tentang dia. Dan dia berdiam diri.

Sehari kemudian, dia muncul balik. Satu mesej ringkas dan seolah menyimpul segalanya. Dan benar jangkaan saya, dia hanya anggap saya sebagai kawan sahaja. Tidak lebih daripada itu. Namun, menurutnya... saya istimewa dalam bentuk yang lain. Dan dia tak nak saya hilang dari hidup dia walau apa pun yang terjadi.

Saya keliru sebab saya masih tak faham kenapa dia masih nak simpan saya? Masih nak tahan saya. Apa tujuan dia yang sebenarnya?

Lalu Blue, saya ambil keputusan untuk lari dari realiti yang pahit ini. Saya hilangkan diri untuk melalui sesi terapi yang saya tak jangkakan ia sangat perit sekali dilalui. Saya menangis sekali lagi. Dan saya banyak termenung memikirkan apa nasib saya seterusnya.

Kata doktor, dia minta saya untuk cuba berdamai dengan takdir buat masa ini. Cuba perlahan-lahan pujuk hati saya supaya boleh mengikhlaskan apa yang telah jadi. Mungkin bagi sesetengah orang, kenapa saya perlu jadi bodoh kerana F? Tapi takkan ada siapa yang faham macam mana perasaan ini sebab mereka tak lalui apa yang saya rasa.

Saya kemudiannya mengambil keputusan bukan sahaja berdamai dengan takdir, juga termasuklah berdamai dengan F. Dia tak tahu beberapa bulan setelah saya menghilangkan diri tersebut, apa yang telah saya pelajari dan mula faham. Atau dia mungkin sedar?

F banyak berubah. Banyak benda yang dia memberi tumpuan selepas mesej panjang yang saya berikan pada dia beberapa bulan yang lepas. Ada di antaranya sangat ketara sehingga buatkan saya kagum dengan apa yang dia pamerkan setiap kali kami berdua keluar bersama. Seolah apa yang saya katakan dulu merupakan kata-kata magis terus hembus ke otaknya.

Juga, dia banyak mengelak dari pelbagai perkara yang mencurigakan saya tanpa dia sedari.

Layanan dia kepada dia masih sama. Bagaikan seorang yang sangat istimewa. Tak pernah dia abaikan setiap apa yang kami rancang. Tak pernah miss untuk sekali pun mungkir berjumpa setiap masa. Cuma kali ni, dia akan penuh dengan agenda yang saya kira, ada sesuatu di sebalik semua perkara yang berlaku.

Dan akhirnya... saya dapat tangkap. Semua gerak geri dia selama ini yang pada pandangan saya sangat janggal itu kerana dia sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang. Saya cuba menolak tekaan dan jawapan-jawapan yang ada di depan mata saya. Mungkin, N itu hanya kawan yang sama macam saya yang rapat dengan F. Dan mungkin F nak bersikap adil atau dia membahagikan kawan-kawannya mengikut keutamaan dan penggunaan?

Pukul 6 petang hingga 8 malam, dia akan keluar dengan N. Kemudian selepas itu, dia akan habiskan masa dengan saya. Dan kadang, hari ni dia akan habiskan masa dengan saya seharian, esok dia akan menghilang dan habiskan masa dengan N.

Saya tak boleh rungkai. Tapi saya mahukan jawapan itu. Adakah benar?

Makin lama, makin jelas kelihatan yang saya bagaikan menjadi bayang dalam hubungan mereka berdua. Walaupun masih belum sahih jawapannya. Saya mula rasa sedih, kenapa F tak jujur dengan saya. Kenapa F masih lagi menyimpan saya?

Berbulan saya menyimpan soalan yang ingin saya tanyakan sendiri pada dia. Tapi tak terluah kerana setiap kali kami berdua bersemuka, satu soalan pun tak terpacul dari mulut saya. Walaupun beberapa kali dia dah kantoi. Tapi saya pujuk hati untuk buat bodoh saja.

Hinggalah satu malam kami ke Cameron Highlands. N stalk saya di Instagram Story. Tanpa henti setiap waktu tanpa missed satu pun. Saya mula rasa kecewa dengan diri sendiri berbanding berasa kecewa dengan F. Kenapa saya masih berdiri di situ sedangkan berbulan yang lalu saya dah patut tinggalkan semua halusinasi ini.

Semua ini harus tamat.

Perjalanan pulang dari Cameron Highlands terasa panjang. He drove me back to my home. Dalam masa sengkang tanpa perbualan, soalan itu keluar dari mulut saya.

"Siapa lagi yang tahu kita pergi Cameron Highlands?"

Dia agak janggal dan kaku untuk menjawab. Dan pada saat itu, dia memilih untuk menipu dan mengelak dari terperangkap dengan soalan saya. 

Beberapa minit kemudian, saya ulang balik soalan yang sama. Masih juga dia menjawab jawapan yang sama dan mengelak untuk pandang terus ke mata saya. Blue, jelas dari gerak tubuh dia yang dia cuba mengelak dari menelanjangkan kejujuran yang pahit buat saya.

"N tahulah ya kita pergi Cameron?"

Dia tersentak bila saya sebut nama itu. Dia macam orang tak betul memberi reaksi kepada saya. Banyak perkataan dan ayat yang keluar daripada mulut F seakan tak masuk akal namun saya mendengar apa sahaja butirannya. Saya tahu, itu adalah sesuatu yang dia tak jangka akan jadi secepat ini. Mungkin?

"Saya rasa saya tak patut ada girlfriend lah sekarang. Saya salah. Kan?"

Ayat tersebut terpacul dari mulut dia sebaik sahaja kami hampir tiba di parkir kereta rumah saya. Dia cuba bertindak bodoh dan terlalu banyak perkara awkward yang dia lakukan. Sehinggakan sangat jelas dia dalam keadaan serba salah.

Saya jalan ke rumah dalam keadaan kecewa kerana saya rasa, saya dah gagal bawa diri saya ke arah yang lebih baik. Dan kenapa saya masih lagi menelaan sedih dan amarah yang sama daripada orang yang sama?

Semalaman saya fikir betapa bodohnya saya. 

F non-stop text saya beberapa hari. Dia cuba cari topik untuk berbual. Tanya benda-benda yang sebelum ini dia tak pernah tanya. Saya nampak yang dia terlalu try hard untuk buat saya rasa tak rasa janggal dengan confession dia. Tapi dah terlambat. Saya rasa saya yang perlu pergi untuk kebaikan dia.

Bukan dia.

Saya nak tulis panjang lagi Blue. Tapi saya rasa, cukuplah Blue baca sampai sini saja. Yang pasti Blue, saya akan pergi dari hidup dia. Saya dah tak perlukan jawapan-jawapan yang saya tunggu daripada F.

Mungkin cerita saya tak cukup details untuk Blue faham. Tapi, saya harap Blue dapat menyelami kekecewaan saya ini. Terima kasih sudi habiskan masa untuk baca Blue. Doakan saya bahagia iya?


***


Aku pilih untuk tak reply pada email dia. Sebab aku rasa luahan tu hanya sekadar untuk dia luah. Aku tahu, itu yang dia nakkan.


No comments:

Post a Comment

jika tak tersenangkan; disudi-silakan
beredar angkat kaki-- pergi jalan.

"setiap patah-- bangkit, kayuh semula"