Setiap detik yang terbazir dalam jalan cerita lepas, masih lagi dikait menjadi sebuah lagu — tanpa bunyi — dinikmati sambil memejam mata, terbuai dalam nestapa.
Masih berbasa basi mengenal budi; mencari makna di sebalik gerak kecil. Memahami maksud di sebalik tutur sopan.
Adakah ia benar?
Selama ini dah terlalu biasa dan dah terlalu lali dengan kejelikan abadi. Yang rupawan tak seindah wajah. Yang diagung tak sepadan dijunjung.
Apakah ia palsu?
Dan aku, manusia yang tak menyesal dalam memiliki sayap plastik. Dibawa terbang dalam mesin besi ke mana sahaja layangan perasaan yang listrik — terbit dan bercahaya. Sudah pasti bertemu dengan jalan bertitik.
Jangan bersedih, jangan bersedih, jangan bersedih.
Kerana kita tak pasti lagi. Sejauh mana kita berjalan sambil tersenyum. Mengikat maya menjadi realiti. Menuai memori yang meranum.
Jom balik ke rangkap biasa semula.
Ada hal dan perkara yang membebani hari-hari aku setiap hari. Dalam perjalanan pulang ke rumah, di hari yang begitu lelah, muncul pelbagai fikiran-fikiran yang kusut. Kenapa aku? Kenapa aku yang terbeban dengan menyelami raut wajah manusia yang mengerut, mendiskripsi mata ketidakadilan dan menelan kumat-kamit perkataan yang menyiat hati.
Bodoh. Sebatang tubuh yang memikul otak beratnya hari ini cuba menghadam. Dia terimbas 5 tahun lalu, di hari ketiga melaporkan diri sebagai seorang wartawan muda yang benar-benar percaya bahawa industri hiburan adalah rujinya. Perkataan sama dilemparkan tepat di muka berjerawat dan kaca mata berbingkai hitamnya — di hadapan sebilangan pekerja lain.
“Nampak muka kau ni bodoh, tapi otak berjalan jugak rupanya.”
Mungkin hari tu aku berpura untuk menjadi pekak, Mei 2018. Sama seperti yang terjadi pada kalendar Julai kali ini.
Keras bunyinya. Biasa baginya. Kerana itu adalah taktikal yang dia hirup dan herlakan secara alami. Menggerakkan bonekanya seingin kehendak yang dia rasakan patut menurut selaras dengan matlamatnya. Yang penting, dia capai apa yang dia nakkan. Membasahkan pujaannya dengan lidah sendiri. Lalu, pelator di pentas yang diciptanya. Hero; dia bergerak solo.
Kejap, ni dah minit ke berapa? Boleh masuk ke episod seterusnya?
Dan dia muncul kembali. Tersenyum seolah tiada erti dalam hilangnya berbulan yang lalu. Sekali lagi mungkin… mungkin ada sesuatu akses yang percuma terpampang jelas di dahi aku. Dan disebabkan itu mungkin sahaja berjuta aksara lain yang timbul di lain hari adalah kerana berfikiran yang sama. Akses percuma.
Percuma bersama bicara awang-awangan. Teduh berselindung dari khilaf. Disertakan juga dengan segerombolan jasad bisu tersenyum kaku.
Aku tertanya, sama seperti dalam jilid-jilid lepas, tak habis dengan persoalan. Kenapa satu hal yang tak jelas ni menjadi perkara yang sangat menggusarkan? Kenapa benda-benda macam ni nak dihadap di setiap kalinya yang aku tahu akan merelau ke arah kehancuran?
Slumber. Aku pikul dengan rasa mendepang dada. Tapi babaknya masih lagi sama. Tak serik menelan pahit. Betul jugak ayat tu, “Not again." Sebab itu je bendanya yang bila diceritakan, sama je berlaku dekat aku.
Entah. Sugul kalau nak terus menelan.
Sesiapa sahaja. Jelaskan dan beranilah berteguh bersama aku. Sampaikan pada hati yang sedih ini dan bawa parut aku pergi.
Hari ini, dalam jiwa yang kebas dari menerima hakikat. Soalan aku — “Saya bahagia di episod berapa?”
Yours truly,
Blue x
No comments:
Post a Comment
jika tak tersenangkan; disudi-silakan
beredar angkat kaki-- pergi jalan.
"setiap patah-- bangkit, kayuh semula"