Tuesday, April 29, 2014

Kekuatan

Pada suatu saat, aku teringat pada insan yang takkan pernah aku lupa dalam hidup aku. Biar aku mendefinisikan dia pada namanya sebagai 'Kekuatan'. Ya, kekuatan.

Kisahnya apabila seorang insan yang bernama Kekuatan ini bukan seperti manusia biasa. Manusia biasa yang bersosial, menegur sana sini dan berkenalan sesuka hati dengan sembarangan manusia.

Biar bagaimana pun dia, aku bakal menawan siapa disebalik dia. Menjadi orang paling hampir, paling dekat dan langkah terakhirnya sebagai sahabat.

Aku cuba. Entah macam mana aku makin hampir pada dia. Hampir selangkah demi selangkah. Jauh perjalanan untuk aku sampai ke tahap berada di sudut sisi keberadaannya. Susah yang makin senang plotnya.

Hingga pada tarikh 27/6 pada tahun seangkatan generasi sembilan puluh empat menempuh peperiksaan sekolah buat kali terakhir-- aku, dia dan budak-budak yang elit tahap pembelajarannya ke destinasi yang ditetapkan. Melalui di situ aku makin menghampirinya. Pelbagai cerita tersingkap melalui lawatan itu.

Sepulangnya kami, keakraban tu makin utuh. Benar utuh hingga siang malam layarkan surat elektronik tika berjauhan. Bila berjumpa, malu hati tak dapat dibendung. Begitulah berulangnya.

Bagi aku, dia macam manusia biasa tetapi ada terma dan syarat yang tersendiri dalam penghidupannya. Hingga ke setiap kehidupan peribadi aku dengan dia terkongsi sama.

Aku mula tersentuh pada setiap pertemuan dan pertentangan mata antara aku dan ibunya. Cukup sifat yang mencuit hati aku melihat siapa ibu dia di depan anaknya yang lain termasuk dia.

Namun aku akan mula melenting dan tidak senang duduk apabila dia bersama pilihan hatinya. Bukan aku cemburu tetapi aku tak suka pilihannya. Aku cukup kenal siapa dia itu di mata orang lain.

Aku cuba sedaya upaya beritahunya secara kiasan. Kerana aku tak kuat untuk berkata pada pilihan hatinya. Tidak mampu menjadi penyebab mereka berpisah. Tidak.

Hari-hari aku ceria bila kita bersama. Sumpah aku gembira kerana kau, aku berubah. Sepanjang/seluruh ramadhan itu sangat bererti pada aku kerana banyak perkara kita lalui bersama. Makan, minum, belajar, sahur, berbuka solat semua kita lalui dan kongsi sama. Terlalu banyak memori hingga menyentuh hujung hati untuk aku dan dia sentiasa bersama.

Aku terus untuk mendekatinya. Terus menerus melayar surat pesanan elektronik saban waktu yang berjauhan. Hingga pada malam sampai ke pagi raya itulah aku dia tidak henti berpesanan ringkas.

Mulai detik itu aku takut hilangnya kau. Terlalu sayang. Terlalu cinta. Terlalu agung untuk dilepaskan bila kau sanggup tinggalkan pilihan hati kau mungkin kerana aku. Aku bersalah. Tapi aku tak terluah. Kau sentiasa tenangkan aku.

Kita tak peduli manusia berkata. Kita ikut paksi kita. Bila kita sayang, betul-betul sayang. Bila aku cemburu kau suka. Kau sengaja. Entah sebenarnya kau sedar atau tidak.

Tibalah satu hari. Hari kita pergi ke rumah sahabat kita bersama. Keberangkatan orang tuanya ke luar negara menuntut kita ke rumah sahabat kita. Maka di sanalah kita melalui mimpi gelap. Indah atau kelam. Semuanya di sana.

Hanya kerana satu tindakan, kita teruskan untuk ke sekian kalinya. Aku sedar. Aku bersalah secara totalnya. Kerana kau bukan sepatutnya lalui segala keburukan bersama aku. Aku mencemarkan plot cerita kau. Calar balar. Aku menangis.

Kita teruskan dan teruskan cinta. Kita teruskan dan teruskan lagi sayang. Kerana kau kekutan aku, aku tidak takut. Kerana kau kekuatan aku, aku tak lemah. Perjuangkan kasih. Biar banyak titisan air mata dan banyak kita berfikir sejauh mana kita ini. Aku cukup risau kita nanti bagaimana. Tapi aku tetap cuba teruskan.

Kebetulan, sahabat aku yang lebih baik kau kenal dari aku, merupakan kesukaan kau dari dulu lagi. Aku punya idea agar kau lebih merapatinya. Walau aku perlu berkorban, setiap malam menangis untuk melepaskan kau. Biarlah. Biar kau nanti bahagia. Jangan aku.

Terlalu banyak perkara dan tindakan yang kau lakukan semata demi aku. Terlalu banyak. Hingga aku sendiri tak terhitung. Tak sangka aku boleh kau sayang. Pelbagai benda kau korban untuk aku. Jadi aku perlu hentikan semua ini. Aku harus kuat. Kuat membuay keputusan berat. Masa depan kau cerah dan panjang. Teruskan hidup tanpa aku. Carilah kehidupan sebenar. Bebaskan aku.

Peritnya perpisahan bukan kepalang. Bermula tempoh 1/1 aku minta untuk kita tidak berhubung selama tiga bulan menjadikan suatu penyeksaan yang teramat sakit bagi aku. Tapi hanya ini caranya untuk kau dan dia bersatu. Hanya itu. Biar dapat banyak masa kau sakit kerana aku dan terubat kerana dia. Biar kau pandang aku hina. Biar kau pandang aku sampah. Aku rela. Nanti bila kita ketemu bagai tak bererti lagi.

Sekembalinya tiga bulan mendatang, kita seakan tidak seakrab seperti mana awal perkenalan. Aku sayu namun harus kuat. Jangan pernah lagi di usik.  Keluarlah aku dari hidup kau.

Walau masih aku ingat jam tangan kesayangan kau masih ada pada aku. Masih pada simpanan aku hingga hari ini. Berserta pelbagai barang yang lain dan memori. Namun biarlah ianya menjadi sejarah lama. Kita mula kehidupan yang baru dan kenal sebagai kawan biasa. Biarlah persoalan tinggal persoalan.

Sejauh mana perjalanan aku, aku tetap ingat.
Adakah kau masih ingat seluruh cerita kita yang lalu seperti aku?

No comments:

Post a Comment

jika tak tersenangkan; disudi-silakan
beredar angkat kaki-- pergi jalan.

"setiap patah-- bangkit, kayuh semula"