Antara beberapa alasan lain kenapa aku tidak mahu lagi bertemu mana-mana manusia lampau aku adalah kerana aku tak nak melihat diri aku yang sangat daif dan tak berperikemanusiaan tu. Memang kalau boleh diulang sekali lagi masa, memang aku nak betulkan everything about my past. Nak cakap dengan diri aku yang berumur belasan tahun tu, "JANGAN!" dan menjerit perkataan tu sekuat hati sampai aku berasa puas.
Jangan itu, jangan ini dan jangan bermacam jenis jangan. Tapi kalau fikir balik, kalau dapat pergi ke masa lampau tu, aku nak benda tu jadi tapi dengan keadaan aku yang lebih bijak. Pelik kadang-kadang. Maybe sebab sekarang aku dah rasa benda tu patut terjadi sebab benda tulah membentuk aku sampai ke hari ini.
Seperti yang pernah aku nyatakan dalam zine Pelacur terdahulu-- aku teringat sewaktu aku mengendong beg besar berjalan kaki menerusi kawasan taman perumahan menuju ke kampung. Waktu aku masih lagi berumur 11 tahun, beberapa hari selepas Mak dikejarkan ke hospital. Berseorangan hadapi semua benda yang terjadi disebabkan hidup berantakan dan berkucar-kacir. Abang dengan kakak sibuk menguruskan hal yang sepatutnya, maka aku perlu juga bertindak dengan mengambil keputusan untuk keluar dari rumah sendiri. Cari orang yang boleh jaga aku.
Sepanjang perjalanan tersebut, bermacam-macam tohmahan dan pertanyaan aku terima daripada makcik-makcik yang bersidaian dekat luar rumah melepak sambil mengumpat. Dan tak lupa juga budak-budak dari taman permainan yang mulut macam longkang.
"Mana Mak kau?"
"Kenapa lari dari rumah"
"Betul ke rumah kamu berhantu?"
"Mana abang dengan kakak kamu?"
Bermacam lagi soalan. Walhal semua orang dah tahu cerita. Apa yang aku mampu buat ketika itu adalah cuma berdiam dan menahan tangis sendiri. Dalam hati cuma dapat cakap "Jangan, jangan" dan jangan berulang kali sampailah tiba dekat kampung. Sebaik sampai dekat rumah mak saudara, menangis dalam bilik sambil tekup bantal dekat muka.
Bahkan terpaksa melalui beberapa perkara rumit sepanjang bulan puasa tahun 2005 tersebut yang tak boleh ditafsir dalam bentuk kata-kata selama menumpang rumah orang tu. Saat malam-malam dingin tanpa seurat pun benang menyelimuti tubuh. Yang mampu terus terdiam tanpa kata-kata dan penyesalan yang tiada guna.
Jangan buat orang, sebab kita tak tahu macam mana nasib kita masa akan datang. Jangan cakap sembarangan dekat orang kalau kita tak boleh nak membantu dia, jangan cakap apa-apa. Diam. Jangan sampai esok atau lusa, kena batang hidung sendiri, baru nak bentang sejadah menadah tangan menyalahkan takdir apa dosa yang kau rasa kau tak buat.
Jangan cemarkan hidup orang kalau tak nak diri sendiri terhumban tempat yang tidak tahu mana wujudnya di kemudian hari. Jangan merasa enak dengan santapan yang terhidang atas kesakitan dan penyeksaan orang lain. Jangan dah terkena tembakan tepat pada masa pembalasannya, baru nak merayu untuk tak lagi diragut kebahagiaan sebelum.
Bila aku dah gagah untuk kembali ke masa lampau pada tahun 2015 yang lalu sehingga sekarang, banyak benda yang telah berubah dan menyimbah semula pantulan kepada mereka-mereka tadi. Ada yang anak dia kena angkut dengan polis atas kes bergaduh dekat lowyat. Anak mengandung sebelum sempat berkahwin. Bawa lari anak perempuan orang. Dan tak lupa juga yang dibuang daerah disebabkan menjadi pembekal barang terlarang.
Hidup itu adil. Balasan itu akan setimpal, lagi-lagi kalau apa yang orang buat jahat dekat kita masa bulan yang penuh barakah ni. Akan mungkin berganda balasan dia kemudian hari.
Jangan buat orang.
No comments:
Post a Comment
jika tak tersenangkan; disudi-silakan
beredar angkat kaki-- pergi jalan.
"setiap patah-- bangkit, kayuh semula"