Thursday, May 11, 2023

Impermanence

Setahun yang lalu merupakan sebuah tahun yang mencabar. Seperti biasa, cliche. Tapi betul-betul mencabar dan tak masuk akal. Rasa macam aku meratib ayat ni dari satu ke satu diari. Sama dan tak berubah.

Bermula dengan kisah dapat berita kena keluar daripada rumah sewa disebabkan tuan rumah disita hasil pengkhianatan yang berlaku di pejabat. Kemudian, diduga pula dengan positif COVID-19. Separuh mati menahan sakit yang tak terduga perasaannya. Tapi masih steady dalam gelap bertarung sehabis mungkin.

Kemudian, cabaran seterusnya apabila mental tak stabil namun masih gagahkan diri untuk mengharung episod yang takkan habis peritnya. Lalu, muncul satu penyakit yang tak dapat digambarkan perasaan waktu tu apabila seluruh badan melepuh, gatal-gatal dan tak terkawal sampai bernanah di semua tempat terutama di bahagian pelipat. Disebabkan gabungan semua sakit dalam satu masa -- aku ambil keputusan untuk berhenti kerja namun sebaliknya diberikan cuti.

Sebulan selepas recover daripada sakit yang bertimpa-timpa dan hampir mencapai peratus stabil dari segala segi -- tanpa diduga, aku kemalangan dekat highway menghala jalan balik ke KL. It was so fucking horrible I tell you. Sekali lagi mental koyak rabak. Lumpuh dan tak bermaya.

Mungkin sebab aku dah terbiasa dengan kerja bertahun dengan kereta sendiri. Nak ke mana senang. Tiada sekatan. Jadi, bila takde kereta ni, memang patah kaki. Duit keluar laju. Terpaksa sewa kereta hampir 3 bulan. Terpaksa tumpang orang lain kalau-kalau tempoh waktu menyewa habis dan perlu hantar balik kereta. Beribu duit habis dalam masa beberapa bulan mengalahkan perbelanjaan bayar duit kereta bulanan. Beberapa kali balik ke rumah jalan kaki tengah malam bila show habis tengah pagi dan takde Grab. Nasib baik rumah dengan PICC dekat masa tu. "Walaupun..."

Masa tengah hadap semua benda tu, mental dengan jiwa macam kena henyak. Bermain perasaan dengan segala benda yang tak patut hadap. Bertambah parah bila setiap persoalan yang ditinggalkan tu tergantung tanpa sebarang jawapan sampai ke saat terakhir bertentang mata. Seakan tak bermakna dan mungkin aku ni hanya sebagai pelempias tempat sunyi. Dah bagi segalanya -- tapi takde nilai sikit pun. Jadi, lebih baik aku yang angkat kaki walaupun sakit tak terkata. Repeatedly pergi psychiatrist sebab otak tak betul. Teruk nak mampus.

Maka, tahun lalu adalah tahun sial bagi banyak perkara dengan manusia-manusia sekeliling, kesihatan dan kewangan. Azam tahun lepas nak stabil merupakan tahun yang paling tak stabil. Semua tak kekal. Satu pun tidak.

Konon nak reset dengan cuti 3 minggu dari kerja. Off phone dan buat benda-benda yang boleh menghabiskan duit sepanjang cuti hujung tahun tersebut. Kelakar.

Muncul lagi watak hujung tahun yang selama ni menjadi pemerhati dalam hidup aku. Tampil ke hadapan dan tersenyum mengubati segala kedukaan.

Tapi, kan aku cakap tahun lepas adalah tahun tak kekal. Jadi kau rasa, benda ni akan kekal? Tak. Patut aku teruskan atau patut aku matikan sampai sini?

Dah alang-alang, kan?

It was a fucked up Friday. Last week, tengah aku gembira bergelak ketawa petang tu - kehilangan dalam masa beberapa minggu yang aku rasakan tu muncul dengan jawapan untuk tamatkan semua benda yang kitorang dah lalui hampir 6 bulan lamanya.

"Maybe LDR is not my thing," itu yang aku selalu fikir setiap kali dia menghilangkan diri. Tapi aku pujuk balik diri sebab aku selalu fikir pasal effort orang. Sekecil-kecil perkara aku hargai. Jauh kot setiap kali dia nak datang jumpa aku. Kalau tak dari Melaka, dia akan datang dari Negeri Sembilan. Setiap kali dan setiap minggu. Tak gila?

Kali terakhir jumpa, kira-kira seminggu sebelum raya - aku dah rasakan satu kejanggalan. Aku tak dapat nak elak dari mengabaikan perasaan janggal tu bila benda tu dah semakin jelas terpampang depan muka. Tapi aku diamkan sebab aku sejenis yang tak nak mula membenarkan firasat yang selalunya adalah benar. Dalam diam dan terus berdiam hari tu membawa kepada minggu-minggu yang seterusnya dengan permulaan ayat, "Saya perlukan waktu kejap."

Perlukan waktu kejap tu adalah sebuah jawapan. 

Dan aku dah ready. Sebab sepanjang 6 bulan yang lepas aku dah cakap yang "LDR is not my thing" right? Jadi aku takde letak apa-apa terlalu tinggi. Kalau berlalu, berlalulah.

Satu IG Story muncul dalam "diam" yang panjang. Jawapan dah terang lagi bersuluh dekat dalam tu.

LDR is not our thing. 

Wednesday, March 29, 2023

A Bag To My Racket

Setahun yang lepas, we started to play badminton. Mulanya macam suka-suka. Masa tu, tak fikir pun nak main untuk menang. Sekadar suka-suka. Tambah pulak nak kasi badan berpeluh lepas lama tak keluar “bersukan” disebabkan PKP yang bersiri-siri kejadiannya.

Ingat lagi, lepas je main — mesti nak tangkap gambar ramai-ramai. Mainnya takdelah pro mana pun. Semata nak bergambar je lebih. Dan yang paling penting, masa tu memang dah jadi trend balik main bandminton ni since kerajaan dah benarkan main sukan di kawasan tertutup.

Ada yang datang dengan kawan office, ada yang datang dengan family, ada yang datang dengan housemate dan ada yang datang dengan teman tapi mesra.

Maka, wujudlah kita.

Setiap minggu tanpa gagal melakukan rutin yang sama. Tak bosan, tak rasa penat dan tak pernah sekali pun skip. Semua happy dan rasa teruja dengan setiap pertemuan yang dijadualkan.

Saban hari, muka-muka pemain bertukar wajah. Menggantikan satu sama lain. Bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Tapi kita masih sama, bermain dan memanfaatkan masa yang ada.

Kita bertanyakan tentang soalan, “Gerak tak?” “Main tak?” “Pukul berapa gerak?” “Nak pergi makan dulu tak?” - All these little things and questions yang selalu menyenangkan.

Daripada hari, bertukar bulan. Daripada akrab, menjadi renggang. Macam tali racket yang selalu digunakan? Ada satu masanya, akan longgar dan perlu diketatkan semula. Begitulah kita.

Dua tahun yang lepas, aku hilang seseorang - dialah tempat untuk aku mengadu, dialah orang yang memahami aku dan dialah tentang segala perkara yang boleh dikongsi & dilakukan bersama. Hilang yang takkan kembali lagi.

And then, you came. Datang dalam masa yang tak diduga. Melengkapi dalam pelbagai cara yang tak dijangka. Meriuhkan dalam setiap waktu. Dan menjadi pengganti kepada kehilangan namun berupa manusia lain.

We’ve done so many things, I guess, selama kita mengharungi berbulan-bulan yang tak masuk akal. Melayani masa-masa yang kosong dengan kidung yang difahami sendiri. Bertukar resensi yang tak masuk akal. Dan setiap hari, memahami perwatakan yang sedia ada wujud dalam diri masing-masing.

Dalam beribu detik yang dihabiskan dengan pelbagai episod dan drama yang tak habis-habis dengan persoalan - aku bersyukur sebab kau wujud dalam tahun yang sangat mencabar bagi aku. Walaupun cabarannya tu banyak disebabkan kau, tapi aku banyak belajar tentang menerima hakikat yang sebenarnya mematangkan aku untuk meneruskan kehidupan di masa akan datang. Juga dalam bertemu wujud lain yang mungkin menyerupai kau.

For whatever reasons that happened between us, aku tak pernah sekali menyesal berhabis masa dengan kau selama waktu kita bergelak ketawa, bertukar cerita dan meluah rasa. Macam aku cakap sebelum ni, aku kosong dalam pemergian seseorang yang menenatkan jiwa aku. Dan bila kau datang, setiap daripadanya terubat.

Kesemua tentang kita yang menjadi terlalu rumit untuk dibentangkan hingga sampai satu saat, kita bukan lagi seperti biasa. Di mana, aku rasa wajar untuk aku memutuskan tali yang selama ini memaut di antara jari jemari dan layang-layangnya. Sakit— tapi itulah hakikat sebenar yang ditelan mentah.

Namun, satu hari dalam waktu berbulan senggang di antara kita, aku cuba untuk melupakan segala pahit. Lalu, terbitlah perbualan.

“Tolong pilihkan racket yang okay. Bajet takdelah kencang. Tapi yang okay. At least lepas ni tak pinjam racket orang dah nak dekat setahun main badminton ni.”

Jadi hari tu, sebelum sesi macam selalu rutin yang wujud hampir nak dekat setahun - kita pilih untuk beli racket aku. Jenama sama, spesifikasi sama, harga sama dan semuanya sama macam kau punya. Cuma tidak pada warnanya.

“Tak nak pilih sama colour ke? Kuning ni? Baru ngam.”

Jauh dalam sudut hati aku, memang nak. Tapi aku fikir di masa mendatang - kalau-kalau kita tak macam ni lagi. Adakah akan ada sentimental value yang sangat tinggi di setiap kali aku menggunakannya mahupun menatapnya lama.

“Racket kau biar dalam beg aku je. Senang.”

The time bila aku ambil keputusan untuk ambil semula racket aku setelah berbulan lamanya pada simpanan kau, dan sejak daripada tu… kelibat kau tak wujud lagi untuk ada dengan aku di gelanggang badminton tu.

Tuesday, March 14, 2023

Bloody Nocturnal

Konteks dia masih sama dengan malam-malam yang sama — bad thoughts. Same thing, everyday.

Kadang-kadang aku terfikir nak ada dekat tempat yang sama tanpa fikir walau sekali pun masalah yang datang, perasaan yang wujud dan emosi yang muncul. Setiap hari berbolak balik dengan benda yang sama — tentang ketaksamaan.

Persoalannya, kenapa?
Dia akan berhenti pada soalan yang sama. Kenapa?

Jadi, aku masih tak dapat kata penyelesaian. Sebab setiap kali huraian aku terbentang. Dan aku bentukkan ayat seterusnya dengan “Kenapa?” — maka jawapannya akan menemui jalan buntu. Kenapa?

Saban malam aku terus tertanya dan meratapi sendiri. Dimakan dengan pertanyaan yang tak jumpa jalan penghujung. Detik dan waktu seiring berlari, menunggu masa yang aku berhentikan sendiri. Takdir yang sampai di penghujung.

Persoalannya, kenapa?
Dia akan berhenti pada soalan yang sama. Kenapa?

Repetitive. Sampai habis.

Mungkin terlalu banyak perkara yang tak habis difikir. Asyik termenung kenapa benda yang dirangka tak semudah yang disangka. Kenapa apa yang dirancang tak berjalan tenang. Bahagian mana yang susah? Bahagian yang tak faham. Dan bahagian mana yang tak masuk akal?

Persoalan yang sama, kenapa?

Thursday, January 05, 2023

My Personal Life That I Gave To You

Recent years, bila aku scroll balik video & gambar-gambar sambutan new year sebelum-sebelum ni menunjukkan, that freaking year bakal ditakdirkan dengan kehilangan salah seorang dalam kenangan tersebut. Sama ada ditinggalkan, berlaku perselisihan faham, tak lagi bersemuka, berpisah jarak jauh mahupun dengan kematian. Well, I’m sure this is not a good thing to think about right now.

Pretty chaos.

Last year, aku letakkan azam baharu aku dengan hanya 2 perkara umum namun mencangkupi beberapa aspek penting — stability and happy. Apa yang aku nak achieve di tahun 2022 adalah stabil dalam mengurus emosi, kerjaya, dan kewangan. Aku nak gembira dalam melaksanakan hubungan berkeluarga, berkawan, bekerja mahupun melakukan apa sahaja tanpa dilanda duka.

Did I achieved it? Nah, not really. Aku rasa, aku hanya capai tak kurang 25% dari angan-angan setinggi langit. Seakan mahu mencapai awan terlebih dahulu namun tidak bersayap dan bertangga. Manakan mahu menggapai langit?

But I did learned so many things in so many ways.

Secara jujur, segala masalah yang aku boleh rumuskan bila mengenang balik apa yang dah terjadi — aku terlalu memberi peribadi sendiri kepada yang tak memerlukan. Which I think, aku sengaja membenarkan segala yang bersifat private and personal diceroboh oleh orang yang dianggap layak memecah masuk. Hakikatnya aku tahu, at the end of the day, aku takkan dapat apa-apa melainkan kesakitan dan azam yang tak tertunaikan.

As simple as I gave you my book by hoping you read it, and you didn’t ever care to open it even once.

I’m going to end my journey (my 20s) soon. Sama ada bersambung di tahun seterusnya ataupun tidak — azam setiap tahun baharu tetap diteruskan. Supaya ada benda nak target, ada visi nak dipaksikan dan ada misi untuk dilunaskan.

Azam tahun baharu 2023 aku tak besar dan bersikap sedar. Aku memilih untuk fokus dan tebus. So, let’s work on it.

Saturday, December 03, 2022

“He Drove Me Back…”

Beberapa hari lepas, aku sengaja bukak balik blog. Sebab tak tahu nak cakap dengan siapa. Tak tahu apa patut aku buat dengan benda-benda mengarut dalam kepala. Lepas DM kawan lama aku, dia menyedarkan aku tentang beberapa benda yang aku rasa tenang untuk menerima segala hakikat yang ditakdirkan sekarang. Dan macam biasa, ke sinilah tempat aku - aku akan baca balik semua diari-diari lama dalam ni.

Tak lama lepas tu, aku perasan satu ruangan dalam blog ni — yang sebenarnya dah lama aku tak pedulikan. Ruangan di mana aku tinggalkan email untuk orang contact aku. Which satu masa dulu dekat situlah tempat aku selalu terima karangan panjang daripada orang. Perbualan yang hanya sekadar di dalam email sahaja. Tak pernah tahu dan kenal siapa di sebalik emel-emel strangers tu. Maka, hari ni terdetiklah nak menggeledah inbox email ni.

Dah lama sebenarnya aku tak bukak email yang attached dekat blog ni. Tak aktif macam zaman masa semua benda kena riwayatkan dalam blog. Scroll, scroll… aku berhenti dekat 1 email ni.


Title: Remember me?

“Hi Blue. Saya tahu Blue mungkin takkan sedar email ni masuk dan berkemungkinan ini merupakan hari yang dah pun bukan hari saya berdukacita. Saya tahu saya macam orang bodoh email dekat Blue. Tapi lepas terbaca blog post Blue beberapa hari lepas, saya rasa yang Blue dah ‘aktif’ semula menulis di sini. Harapnyalah.

Jadi saya ambil keputusan untuk menulis, berkongsi dan meluah tentang apa yang berlaku dengan hidup saya kebelakangan ini.

Remember me?

Saya pernah tulis 1 email dekat Blue dulu. Sama macam saya tulis bertahun yang lepas dekat Blue. Tentang hidup saya yang saya kongsikan. Fast forward, hari ni saya nak kongsikan lagi apa yang berlaku dengan saya. 

I just self-broke up.

Saya tak tahu nak cakap macam mana tapi mungkin itu adalah perkataannya. Saya tak tahu nak ungkapkan bagaimana sebab saya dah habis perkataan untuk mentafsirkan apa yang terjadi dengan saya... dan dia.

Can I start this rant from the beginning?

Saya dan F kerja di tempat yang sama. Satu team yang sama. Tak ada apa-apa yang istimewa dalam kehidupan bekerja bersama. Tak pernah wujud apa-apa. Melepak? Pernah, lepas habis waktu kerja dengan kawan-kawan sekerja kami. Kadang-kadang masa melepak, dia bawak pasangan dia.

PKP terjadi. Dia berhenti. Dan banyak lagi perkara berlalu pergi.

Dan tiba-tiba satu hari, saya dapat mesej daripada bekas rakan sekerja saya ditempat lama, "Dia cakap you bestfriend dia."

Bestfriend? Tapi sejak bila kami declare, kami kawan rapat? Atau mungkin sebab beberapa kali kami habiskan masa texting borak kosong sebelum ni. Dan dia selesa dengan cara kami bertanya khabar kepada satu sama lain. Saya tersenyum.

Fast forward, beberapa bulan sebelum penghujung tahun 2021. Kami banyak habiskan masa bersama. Keluar menonton wayang, keluar makan berdua dan berjalan ke merata tempat. Satu perasaan yang saya tak dapat gambarkan betapa gembiranya hidup saya waktu itu. Entah macam mana, kami satu kepala. Apa yang saya selesa dan suka, itu juga yang dia selesa dan suka.

Saya jarang benarkan orang masuk ke dalam 'ruang' hidup saya. Melainkan saya dah percaya dan selesa sepenuhnya dengan dia. Macam menelanjangkan jasad dan jiwa untuk orang yang dulunya bukan sesiapa dan akhirnya menjadi insan yang penting dalam hidup saya. Dan F adalah salah satu orangnya. Saya benarkan dia untuk bermain dan meneroka hidup saya.

Maka, tibalah Disember 2021. Di mana pada masa itu saya berada dalam keadaan yang sangat huru-hara. Antara melepaskan dan menyimpan sesuatu perkara yang melibatkan hati. Saya kesal tetapi dengan lapang jiwa melepaskan seseorang yang saya fikir akan menokhtahkan hidup bersama. Dalam kesedihan yang melampau dan dalam perjalanan pulang ke kampung, saya dapat satu pesanan ringkas daripada F. Saya tersenyum. Seakan perkara yang melukakan saya tadi tak wujud lagi. Mungkin F adalah orang yang sanggup menyambut saya dari luka ini?

Ya, F datang tepat pada masanya. Merawat saya.

Saya bersyukur yang dia datang dan serikan hari-hari saya di malam terakhir tahun baru. Jelas dan takkan mati memori antara kami berdua sewaktu menyambut tahun baru tu. Bermula daripada malam tu, saya ambil keputusan untuk lupakan segalanya dan setia pada penyelamat emosi saya ni. Tak kira apa pun.

Tapi setiap hari, saya rasa perasaan tu sering berubah. Ada hari saya rasa, saya cuma manusia biasa dalam hidup dia. Ada hari yang saya rasa, saya paling penting dalam hidup dia. Dan ada hari yang saya rasa, saya dibenci dan merimaskan dalam hidup dia. Saya tak reti nak nilai siapa saya dalam hidup dia seharian. Penting ke saya? Saya nakkan jawapan.

Oh, saya dah beritahu ke yang saya kembali berjumpa psikiatri saya disebabkan dia? Mungkin Blue rasa macam saya gila. Tapi Blue tak salah. Mungkin saya dah gila. Saya menangis dan menangis beberapa hari berturut-turut hanya kerana saya rasa dilayan seperti sampah oleh F. Saya rasa dunia saya berpusing dan berpaksi pada dia selama berbulan-bulan bersama F.

Kami dah lakukan bermacam-macam perkara sama-sama saban hari dan waktu. Sampai ada yang dah cakap-cakap tentang kami berdua. Tapi F hanya gelak dan berpura seperti itu semua biasa sahaja. Tapi bagi saya tidak. Saya nak dia anggap benda ni serius. Saya bukan tak selesa dengan orang lain, saya tak selesa dengan cara dia bertindak dan menerima benda ni. Seolah waktu yang kami berdua selama ni habiskan bagai tak bermakna di mata dia dan hanya sekadar untuk menghabiskan masa saja.

Macam saya katakan tadi Blue, saya cuma mahukan jawapan daripada dia.

Jadi, apa yang saya lakukan adalah... tinggalkan satu pesanan yang dikira sebagai hint kepada masalah saya ini. Tapi do you wanna know what happened? F tak dapat teka. Dia rasa saya tujukan mesej tersebut untuk orang lain. Dia rasa macam saya sedang jatuh cinta dengan someone dekat office saya. Saya tergelak sendiri sebab jangkaan saya yang dia akan terus sedar.

Dia nasihat saya macam-macam benda termasuk suruh saya confess saja dekat orang itu dan terima saja apa feedback yang akan diberikan walaupun ianya pahit. Semua akan okay selepas saya luahkan pada orang tersebut.

Tanpa cakap panjang, saya terus berterus terang yang saya maksudkan dalam hint-hint sebelum ini adalah tentang dia. Dan dia berdiam diri.

Sehari kemudian, dia muncul balik. Satu mesej ringkas dan seolah menyimpul segalanya. Dan benar jangkaan saya, dia hanya anggap saya sebagai kawan sahaja. Tidak lebih daripada itu. Namun, menurutnya... saya istimewa dalam bentuk yang lain. Dan dia tak nak saya hilang dari hidup dia walau apa pun yang terjadi.

Saya keliru sebab saya masih tak faham kenapa dia masih nak simpan saya? Masih nak tahan saya. Apa tujuan dia yang sebenarnya?

Lalu Blue, saya ambil keputusan untuk lari dari realiti yang pahit ini. Saya hilangkan diri untuk melalui sesi terapi yang saya tak jangkakan ia sangat perit sekali dilalui. Saya menangis sekali lagi. Dan saya banyak termenung memikirkan apa nasib saya seterusnya.

Kata doktor, dia minta saya untuk cuba berdamai dengan takdir buat masa ini. Cuba perlahan-lahan pujuk hati saya supaya boleh mengikhlaskan apa yang telah jadi. Mungkin bagi sesetengah orang, kenapa saya perlu jadi bodoh kerana F? Tapi takkan ada siapa yang faham macam mana perasaan ini sebab mereka tak lalui apa yang saya rasa.

Saya kemudiannya mengambil keputusan bukan sahaja berdamai dengan takdir, juga termasuklah berdamai dengan F. Dia tak tahu beberapa bulan setelah saya menghilangkan diri tersebut, apa yang telah saya pelajari dan mula faham. Atau dia mungkin sedar?

F banyak berubah. Banyak benda yang dia memberi tumpuan selepas mesej panjang yang saya berikan pada dia beberapa bulan yang lepas. Ada di antaranya sangat ketara sehingga buatkan saya kagum dengan apa yang dia pamerkan setiap kali kami berdua keluar bersama. Seolah apa yang saya katakan dulu merupakan kata-kata magis terus hembus ke otaknya.

Juga, dia banyak mengelak dari pelbagai perkara yang mencurigakan saya tanpa dia sedari.

Layanan dia kepada dia masih sama. Bagaikan seorang yang sangat istimewa. Tak pernah dia abaikan setiap apa yang kami rancang. Tak pernah miss untuk sekali pun mungkir berjumpa setiap masa. Cuma kali ni, dia akan penuh dengan agenda yang saya kira, ada sesuatu di sebalik semua perkara yang berlaku.

Dan akhirnya... saya dapat tangkap. Semua gerak geri dia selama ini yang pada pandangan saya sangat janggal itu kerana dia sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang. Saya cuba menolak tekaan dan jawapan-jawapan yang ada di depan mata saya. Mungkin, N itu hanya kawan yang sama macam saya yang rapat dengan F. Dan mungkin F nak bersikap adil atau dia membahagikan kawan-kawannya mengikut keutamaan dan penggunaan?

Pukul 6 petang hingga 8 malam, dia akan keluar dengan N. Kemudian selepas itu, dia akan habiskan masa dengan saya. Dan kadang, hari ni dia akan habiskan masa dengan saya seharian, esok dia akan menghilang dan habiskan masa dengan N.

Saya tak boleh rungkai. Tapi saya mahukan jawapan itu. Adakah benar?

Makin lama, makin jelas kelihatan yang saya bagaikan menjadi bayang dalam hubungan mereka berdua. Walaupun masih belum sahih jawapannya. Saya mula rasa sedih, kenapa F tak jujur dengan saya. Kenapa F masih lagi menyimpan saya?

Berbulan saya menyimpan soalan yang ingin saya tanyakan sendiri pada dia. Tapi tak terluah kerana setiap kali kami berdua bersemuka, satu soalan pun tak terpacul dari mulut saya. Walaupun beberapa kali dia dah kantoi. Tapi saya pujuk hati untuk buat bodoh saja.

Hinggalah satu malam kami ke Cameron Highlands. N stalk saya di Instagram Story. Tanpa henti setiap waktu tanpa missed satu pun. Saya mula rasa kecewa dengan diri sendiri berbanding berasa kecewa dengan F. Kenapa saya masih berdiri di situ sedangkan berbulan yang lalu saya dah patut tinggalkan semua halusinasi ini.

Semua ini harus tamat.

Perjalanan pulang dari Cameron Highlands terasa panjang. He drove me back to my home. Dalam masa sengkang tanpa perbualan, soalan itu keluar dari mulut saya.

"Siapa lagi yang tahu kita pergi Cameron Highlands?"

Dia agak janggal dan kaku untuk menjawab. Dan pada saat itu, dia memilih untuk menipu dan mengelak dari terperangkap dengan soalan saya. 

Beberapa minit kemudian, saya ulang balik soalan yang sama. Masih juga dia menjawab jawapan yang sama dan mengelak untuk pandang terus ke mata saya. Blue, jelas dari gerak tubuh dia yang dia cuba mengelak dari menelanjangkan kejujuran yang pahit buat saya.

"N tahulah ya kita pergi Cameron?"

Dia tersentak bila saya sebut nama itu. Dia macam orang tak betul memberi reaksi kepada saya. Banyak perkataan dan ayat yang keluar daripada mulut F seakan tak masuk akal namun saya mendengar apa sahaja butirannya. Saya tahu, itu adalah sesuatu yang dia tak jangka akan jadi secepat ini. Mungkin?

"Saya rasa saya tak patut ada girlfriend lah sekarang. Saya salah. Kan?"

Ayat tersebut terpacul dari mulut dia sebaik sahaja kami hampir tiba di parkir kereta rumah saya. Dia cuba bertindak bodoh dan terlalu banyak perkara awkward yang dia lakukan. Sehinggakan sangat jelas dia dalam keadaan serba salah.

Saya jalan ke rumah dalam keadaan kecewa kerana saya rasa, saya dah gagal bawa diri saya ke arah yang lebih baik. Dan kenapa saya masih lagi menelaan sedih dan amarah yang sama daripada orang yang sama?

Semalaman saya fikir betapa bodohnya saya. 

F non-stop text saya beberapa hari. Dia cuba cari topik untuk berbual. Tanya benda-benda yang sebelum ini dia tak pernah tanya. Saya nampak yang dia terlalu try hard untuk buat saya rasa tak rasa janggal dengan confession dia. Tapi dah terlambat. Saya rasa saya yang perlu pergi untuk kebaikan dia.

Bukan dia.

Saya nak tulis panjang lagi Blue. Tapi saya rasa, cukuplah Blue baca sampai sini saja. Yang pasti Blue, saya akan pergi dari hidup dia. Saya dah tak perlukan jawapan-jawapan yang saya tunggu daripada F.

Mungkin cerita saya tak cukup details untuk Blue faham. Tapi, saya harap Blue dapat menyelami kekecewaan saya ini. Terima kasih sudi habiskan masa untuk baca Blue. Doakan saya bahagia iya?


***


Aku pilih untuk tak reply pada email dia. Sebab aku rasa luahan tu hanya sekadar untuk dia luah. Aku tahu, itu yang dia nakkan.