Tuesday, April 29, 2014

Kekuatan

Pada suatu saat, aku teringat pada insan yang takkan pernah aku lupa dalam hidup aku. Biar aku mendefinisikan dia pada namanya sebagai 'Kekuatan'. Ya, kekuatan.

Kisahnya apabila seorang insan yang bernama Kekuatan ini bukan seperti manusia biasa. Manusia biasa yang bersosial, menegur sana sini dan berkenalan sesuka hati dengan sembarangan manusia.

Biar bagaimana pun dia, aku bakal menawan siapa disebalik dia. Menjadi orang paling hampir, paling dekat dan langkah terakhirnya sebagai sahabat.

Aku cuba. Entah macam mana aku makin hampir pada dia. Hampir selangkah demi selangkah. Jauh perjalanan untuk aku sampai ke tahap berada di sudut sisi keberadaannya. Susah yang makin senang plotnya.

Hingga pada tarikh 27/6 pada tahun seangkatan generasi sembilan puluh empat menempuh peperiksaan sekolah buat kali terakhir-- aku, dia dan budak-budak yang elit tahap pembelajarannya ke destinasi yang ditetapkan. Melalui di situ aku makin menghampirinya. Pelbagai cerita tersingkap melalui lawatan itu.

Sepulangnya kami, keakraban tu makin utuh. Benar utuh hingga siang malam layarkan surat elektronik tika berjauhan. Bila berjumpa, malu hati tak dapat dibendung. Begitulah berulangnya.

Bagi aku, dia macam manusia biasa tetapi ada terma dan syarat yang tersendiri dalam penghidupannya. Hingga ke setiap kehidupan peribadi aku dengan dia terkongsi sama.

Aku mula tersentuh pada setiap pertemuan dan pertentangan mata antara aku dan ibunya. Cukup sifat yang mencuit hati aku melihat siapa ibu dia di depan anaknya yang lain termasuk dia.

Namun aku akan mula melenting dan tidak senang duduk apabila dia bersama pilihan hatinya. Bukan aku cemburu tetapi aku tak suka pilihannya. Aku cukup kenal siapa dia itu di mata orang lain.

Aku cuba sedaya upaya beritahunya secara kiasan. Kerana aku tak kuat untuk berkata pada pilihan hatinya. Tidak mampu menjadi penyebab mereka berpisah. Tidak.

Hari-hari aku ceria bila kita bersama. Sumpah aku gembira kerana kau, aku berubah. Sepanjang/seluruh ramadhan itu sangat bererti pada aku kerana banyak perkara kita lalui bersama. Makan, minum, belajar, sahur, berbuka solat semua kita lalui dan kongsi sama. Terlalu banyak memori hingga menyentuh hujung hati untuk aku dan dia sentiasa bersama.

Aku terus untuk mendekatinya. Terus menerus melayar surat pesanan elektronik saban waktu yang berjauhan. Hingga pada malam sampai ke pagi raya itulah aku dia tidak henti berpesanan ringkas.

Mulai detik itu aku takut hilangnya kau. Terlalu sayang. Terlalu cinta. Terlalu agung untuk dilepaskan bila kau sanggup tinggalkan pilihan hati kau mungkin kerana aku. Aku bersalah. Tapi aku tak terluah. Kau sentiasa tenangkan aku.

Kita tak peduli manusia berkata. Kita ikut paksi kita. Bila kita sayang, betul-betul sayang. Bila aku cemburu kau suka. Kau sengaja. Entah sebenarnya kau sedar atau tidak.

Tibalah satu hari. Hari kita pergi ke rumah sahabat kita bersama. Keberangkatan orang tuanya ke luar negara menuntut kita ke rumah sahabat kita. Maka di sanalah kita melalui mimpi gelap. Indah atau kelam. Semuanya di sana.

Hanya kerana satu tindakan, kita teruskan untuk ke sekian kalinya. Aku sedar. Aku bersalah secara totalnya. Kerana kau bukan sepatutnya lalui segala keburukan bersama aku. Aku mencemarkan plot cerita kau. Calar balar. Aku menangis.

Kita teruskan dan teruskan cinta. Kita teruskan dan teruskan lagi sayang. Kerana kau kekutan aku, aku tidak takut. Kerana kau kekuatan aku, aku tak lemah. Perjuangkan kasih. Biar banyak titisan air mata dan banyak kita berfikir sejauh mana kita ini. Aku cukup risau kita nanti bagaimana. Tapi aku tetap cuba teruskan.

Kebetulan, sahabat aku yang lebih baik kau kenal dari aku, merupakan kesukaan kau dari dulu lagi. Aku punya idea agar kau lebih merapatinya. Walau aku perlu berkorban, setiap malam menangis untuk melepaskan kau. Biarlah. Biar kau nanti bahagia. Jangan aku.

Terlalu banyak perkara dan tindakan yang kau lakukan semata demi aku. Terlalu banyak. Hingga aku sendiri tak terhitung. Tak sangka aku boleh kau sayang. Pelbagai benda kau korban untuk aku. Jadi aku perlu hentikan semua ini. Aku harus kuat. Kuat membuay keputusan berat. Masa depan kau cerah dan panjang. Teruskan hidup tanpa aku. Carilah kehidupan sebenar. Bebaskan aku.

Peritnya perpisahan bukan kepalang. Bermula tempoh 1/1 aku minta untuk kita tidak berhubung selama tiga bulan menjadikan suatu penyeksaan yang teramat sakit bagi aku. Tapi hanya ini caranya untuk kau dan dia bersatu. Hanya itu. Biar dapat banyak masa kau sakit kerana aku dan terubat kerana dia. Biar kau pandang aku hina. Biar kau pandang aku sampah. Aku rela. Nanti bila kita ketemu bagai tak bererti lagi.

Sekembalinya tiga bulan mendatang, kita seakan tidak seakrab seperti mana awal perkenalan. Aku sayu namun harus kuat. Jangan pernah lagi di usik.  Keluarlah aku dari hidup kau.

Walau masih aku ingat jam tangan kesayangan kau masih ada pada aku. Masih pada simpanan aku hingga hari ini. Berserta pelbagai barang yang lain dan memori. Namun biarlah ianya menjadi sejarah lama. Kita mula kehidupan yang baru dan kenal sebagai kawan biasa. Biarlah persoalan tinggal persoalan.

Sejauh mana perjalanan aku, aku tetap ingat.
Adakah kau masih ingat seluruh cerita kita yang lalu seperti aku?

Saturday, April 12, 2014

Epilog - Ceritera Empat Lendu

Akhirnya aku berada pada nokhtah terakhir sebuah lagi ceritera Kota Lendu.
Setelah pelbagai musim berlalu semester ini, pelbagai juga kisah berlaku.

Namun aku rasa secara amnya, ceritera kali ini benar-benar tertumpu pada dia, kolej dan kampus. Bagaimana aku berusaha dalam mengejar rentak baru. Bagaimana aku menyusun waktu. Bagaimana aku menjadi makin bertanggungjawab. Dan bagaimana aku mengawal perasaan aku.

Jauh di dalam sudut hati ketika ini aku mengharapkan hanya satu. Satu perkataan terakhir pada waktu ini. Di kala hujan turun membasahi Bumi Lendu ini. Tatkala semua kesedihan terasa begitu dalam sekali.

Aku melihat engkau. Tiada kata mampu aku ungkapkan. Pengakhiran kali ini bukanlah yang luar biasa. Aku dihimpit sedih yang bertandang sekali lagi. Titisan air mata membasahi epilog kali ini. Ternyata air mata yang gugur bagaikan permata ini sangat berharga.

Aku cuba bertahan. Menahan dari menitiskan air mata. Tapi tak mampu aku sela di balik selimut yang menutupi muka aku-- seakan terlihat lena dalam buaian tidur.

Semua melihat kau berubah. Semua lihat kau makin berbeza. Adakah kerana kau pernah berfikir semasa di waktu peminggiran? Aku jelas bersalah. Namun atas kebaikan kau, biarkan kau berubah. Berubah pada kebaikan.

Jujurnya epilog kali ini teramatlah ringkas. Sebuah kehidupan biasa. Melarat dengan perasaan. Memenuhi segenap jiwa. Segala azam dan cita tak tercapai. Semua menghancurkan. Bila aku belek kembali helaian lama, mungkin 75% masih berbaki aku belum melangsaikan hutang azam semester baru.

Pelbagai kenangan aku lalui. Diconteng arang juga kali ini jelas terlihat. Sepanjang semester ini aku diajar untuk mengenali kembali kehidupan berfikir lebih lama dan kehidupan memendam yang mendalam.

Aku tidak banyak menulis entri baru. Aku tak mencatat seperti halaman yang lalu. Boleh di kira tak sampai 5 barangkali entri aku di ceritera ini. Inikah penyaksian yang aku mahu tunjukkan?

Walhal inilah hari terakhir aku di dalam Ceritera Empat Lendu.

Aku sedih kerana masih lagi bertahan dan mampu berkata pada sebuah tulisan. Tak mampu mengungkapkannya dengan kata-kata. Maafkan aku di minggu terakhir ini membencikanmu.

Andainya ada masa yang lama, aku ingin luahkan pada kau yang sebenarnya aku perlukan kau. Namun biarlah segalanya terkubur. Terkubur tanpa bertanda.

Yang pasti akan aku ingat adalah TPK031-- penyaksian aku bernafas di situ.

Sekian di Ceritera Empat Lendu.

Yours truly,
Blue x

Wednesday, April 09, 2014

Indah Sakura Kota Lendu

Pelbagai musim berlalu. Kota Lendu bagaikan melalui pelbagai musim bukan seperti biasanya.

Hujan dan Kemarau sudah sinonim iklim dengan Malaysia. Tetapi kali ini, musim sejuk, jerebu, kemarau dan bunga mewarnai Kota Lendu sekian kalinya.

Indah warna sakura. Indah mekar meliar pada pandangan mata. Kagum dan teruja menyingkap waktu ini dengan persekitaran baru. Indah memang indah.

Saat mekarnya bunga bak sakura, Kota Lendu sedang sunyi dalam peperiksaan akhir semester. Makin memuji keindahanNya saat mata letih mengulangkaji.

Juga saat ini, mekarnya bunga ada juga yang luruh. Memenuhi ruang tanah tanpa segan silu. Tetap setia cantik menutupi hijau rumput.

Luruhnya bunga bermakna luruhnya masa, luruhnya memori. Penyaksian kesedihan bakal berlaku. Berlaku pada aku yang masih lagi berada di sini. Berpura tabah. Berpura kuat tahan sebak. Sebenarnya aku takut kehilangan lagi.

Nabil kini sudah menjauhi. Kami NAAEK akur takkan terpisah tetapi akhirnya seorang berundur dulu. Perpisahan ini perit di musim yang indah. Musim ini kau pilih agar kami tak terasa kesedihannya.

Aku mencari indahnya sakura itu. Walau sakit tapi tak jemu aku cuba mendekatinya. Aku harap dia setia pada aku nanti.

Pada siapa aku berkata?

Seindah sakura.

Yours truly,
Blue x

Saturday, March 01, 2014

Takhta Hamba

Sebuah kata, sebuah tinta lahir daripada dalam hati buat sahabat yang bakal pergi untuk meninggalkan khabar sahaja nanti. Kita pernah bersama melakar pelangi. Nabil, Aan, Alfiq, Kecik & Saufi - dalam gelak, tangis sama-sama.


Takhta Hamba

verse 1
kan ada ujian dalam hidup
datang pergi tu lumrah
cuma tabah berjalan
jika letih-- pejamlah seketika

tidurlah dan bermimpi
jangan pernah diusik lagi
lupakan perit di dunia
lenalah-- takhta hamba


verse 2
mula kita gerak sama;
akhir jangan kita terlerai
senyum nangis susah senang--
bertahan meneduh hujan panas

peluklah erat tubuhku
walau disentak jasad terluka
jiwa kita masih bersatu
kekallah, takhta hamba


chorus
melangkah jua kita pergi
jejak, tapak semua kita tinggalkan
dan nanti harap kau ingatlah
pernah kita cipta memori


outro
jangan seka air mata
tika tak tertahan sebak
dan kau ingatlah waktu kita
dongak ke langit kira bintang


puisi ini tidak beritma. lagu ini ditulis dengan hati.

Friday, January 24, 2014

Dingin Salju Kota Lendu

Masa berlalu pantas. Ini adalah minggu yang ke 8 berada di Kota Lendu. Dari musim panas beralih kepada musim sejuk yang diukur suhunya 24°C setakat ini.

Sedingin angin yang bertiup aku dihangatkan dengan pelbagai krisis kemanusiaan sejagat. Setiap saat berdetik setiap langkah berarak. Meredah kesejukan dengan berbekalkan sepasang but daya, sekotak mancis harapan, sebilah kapak usaha dan sehelai jaket pengalaman.

Aku perhatikan, aku cuba fahami. Sedihnya rasa, sebaknya mencengkam. Aku makin jauh dari unggun api yang membara demi berusaha menebang sebuah pokok untuk dijadikan makanan amarah api.

Tika kayuhan kerangka ini laju, aku tersadung pada akar dan tersembam menyembah bumi. Tercalar kulit-kulit oleh batu kerikil. Peritnya luka di alirkan perahan limau. Merentap kepedihan. Masihkah aku memegang erat sebilah kapak usaha dan memakai sepasang but daya di dalam pencarian ini?

Sungguh pun aku mahu beralih dan menuju ke hadapan, aku tetap ditakuk yang sama. Berlagak 4 yang bakal aku tebang kali ini namun adakah ianya fantasi atau realiti dari sudut pandangan manusia?

Mampukah sehelai jaket pengalaman menyedarkan aku kembali? Adakah sekotak mancis harapan ini akan menghangatkan aku dengan imaginasi sahaja?

Aku bisa kaku.

Untuk kedua kalinya sesuatu tindakan dari aku berlaku. Cemburu? Menuduh tak setia? Tidak suka berbahagi? Atau apakah semua ini?

Adakah ini musim salju di Kota Lendu buat aku?

Yours truly,
Blue x